Pengerusi Jawatankuasa Hal Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram menyampaikan Surat Kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) dan Notis Borang 5A Kampung Jenud kepada seorang penerima, semalam.

PENERIMA SYUKUR KERAJAAN NEGERI PERCEPAT PROSES KELULUSAN TANAH STR

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

RAUB, 12 FEBRUARI 2022 : Penerima surat Kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) di Kampung Jenud, Mukim Sega di Raub menyatakan rasa penghargaan kepada Kerajaan Pahang dan kepimpinan setempat kerana dapat mempercepatkan proses kelulusan STR selepas beberapa tahun menunggu.

Encik Anuar Aziz

Proses kelulusan dipercepatkan selepas kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Skim Tanah Rakyat (JKPSTR) ada Ogos 2021 yang telah menggabungkan Jawatankuasa Penapisan Tanah Negeri (JKPTN) dengan Jawatankuasa Penyelesaian Tanah Daerah (JKPTD).

Menurut seorang penerima, Encik Anuar Aziz, 54, berkata, ada antara rakannya yang terpaksa menunggu kelulusan hampir 15 tahun sebelum JKPSTR diwujudkan kerana terpaksa melalui pelbagai proses dan prosedur.

Justeru, beliau sangat gembira dan bersyukur kerana akhirnya dapat memiliki surat kelulusan dan notis borang 5A.

Puan Normala Mokhtar

“Perasaan saya sangat gembiralah sebab mendapat bantuan tanah ini macam tidak disangka-sangkalah sebab saya dapat maklumat bahawa ada yang menunggu kelulusan sejak 15 tahun yang lepas,” katanya.

Sementara itu, Puan Normala Mokhtar, 45, berkata, pemberian surat kelulusan itu juga merupakan rezeki anak-anak selepas kematian suaminya, baru-baru ini.

“Perasaan tu gembiralah, terima kasih kepada tok empat, penghulu, kepada Dato’ Aziz, saya gembira sangatlah dan saya merancang jika ada rezeki saya ingin menanam sawit, rezeki anak-anaklah sebab suami pun baru meninggal, alhamdulillah rezeki dia la juga,” katanya.

Encik Akmal Razlan

Manakala rakan mereka yang sama-sama mengusahakan tanah terbabit, Encik Akmal Razlan, 34, juga turut menyifatkan kelulusan tersebut sebagai usaha pihak kerajaan yang membantu rakyat terutama di kawasan luar bandar.

Justeru, penghargaan dan terima kasih turut diberikan kepada barisan kepimpinan Kerajaan Pahang.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri, YB Dato’ Aziz dan exco-exco yang lain juga, terima kasih kepada JKKK yang lama yang mengusahakan dulu dan JPKK sekarang atas usaha untuk meluluskan STR ini sehingga selesai,” katanya.

Bagi Puan Nor Aishah Mokhtar, 42, pula, penghargaan dan terima kasih harus diberikan kepada pihak kepimpinan yang bersungguh-sungguh membantu penduduk kampung yang mengusahakan STR bagi kegiatan pertanian seperti tanaman getah dan sebagainya.

Puan Nor Aishah Mokhtar

“Saya nak ucap terima kasih kepada YB. Dato’ Aziz Kiram kerana meluluskan dan menyerahkan STR ini kepada penduduk yang mengusahakan dan saya merancang untuk mengusahakan dan memajukan lagi tanah ini,” katanya.

Semalam, seramai 117 peserta telah menerima surat kelulusan STR masing-masing membabitkan tanah seluas 258.74 ekar pada Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Skim Tanah Rakyat (STR) dan Notis Borang 5A Kampung Jenud, Mukim Sega yang diadakan di Tapak Pekan Sehari, Kampung Jenud, Raub. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download