YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan replika Geran Bantuan Pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia berjumlah RM100,000 kepada KOPEGA Berhad pada perasmian penutup Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi (PEMULIH) Jualan Koperasi Prihatin Rakyat di Dataran Kedai Agropolitan Tanjung Gahai, Lipis.

MB PAHANG SARAN PROGRAM PEMULIH DILAKUKAN SECARA BERTERUSAN DI BANYAK KAWASAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUALA LIPIS, 12 FEBRUARI 2022 : YAB Menteri Besar Pahang menyarankan Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi (PEMULIH) Jualan Koperasi Prihatin Rakyat dilakukan secara berterusan meliputi lebih banyak kawasan.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini bagi menampakkan kesungguhan program ini dalam membantu masyarakat yang terjejas.

“Alangkah baiknya jika program ini dibuat dalam masa tiga bulan dua kali contohnya atau pun tiga kali. Itu baru kita betul-betul serius untuk membantu rakyat.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melihat bungkusan beras pada Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi (PEMULIH) Jualan Koperasi Prihatin Rakyat di Dataran Kedai Agropolitan Tanjung Gahai, Lipis.

“Sebabnya kalau kita ingin membantu rakyat, kita kena buat sungguh-sungguh. Kita jangan buat separuh jalan.

“…kalau boleh supaya ianya diteruskan di masa-masa yang akan datang dan meliputi semua tempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa perasmian penutup Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi (PEMULIH) Jualan Koperasi Prihatin Rakyat di Dataran Kedai Agropolitan Tanjung Gahai di sini.

Beliau berkata beliau faham akan berlaku implikasi kewangan sekiranya program ini dijalankan secara berterusan, namun ianya dapat memberi bantuan kepada rakyat.

“Dan rakyat yang kita bantu pada hari ini, adalah rakyat yang terkesan, dan bantuan kita pun bersasar.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika berucap semasa perasmian penutup Program Pembiayaan Intervensi Pemulihan Ekonomi Koperasi (PEMULIH) Jualan Koperasi Prihatin Rakyat di Dataran Kedai Agropolitan Tanjung Gahai, Lipis.

“Contoh hari ini di Agropolitan yang mana merupakan kawasan luar bandar. Di mana penduduknya mungkin terjejas semasa pandemik COVID-19. Dan ini salah satu cara yang saya fikir boleh membantu rakyat yang duduk di luar bandar.

“Kita harap perkara ini dapat dipanjangkan. Kita tak nak ianya bermusim, contohnya bulan Februari buat, tiba-tiba tiga tahun dari sekarang pula baru buat jualan PEMULIH. Kesungguhan untuk bantu rakyat itu tidak nampak,” katanya.

Beliau dalam majlis berkenaan turut menyaksikan penyampaian geran bantuan pembangunan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada KOPEGA Berhad. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download