Oleh : Fairus Mohd
KUANTAN, 09 FEBRUARI 2022 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan rasa besar hati menerima kunjungan ulama hadis terkenal dunia, Al-Fadil Al-Allamah Al-Syeikh Dr. Abdel Karim Elsayed Elbadawi Ahmed Soliman Al-Nadawi ke pejabatnya, hari ini.
Al-Fadhil Al-Sheikh Dr. Abdel Karim yang dilantik sebagai Felo Hadis Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) berkuatkuasa semalam disifatkan sebagai seorang tetamu yang amat istimewa dan bakal menyemarakkan serta menyerbarluas ilmu agama di negeri ini.
“Kehadiran beliau hari ini adalah atas undangan Kerajaan Negeri Pahang di mana ia selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong yang berhasrat menjadikan Negeri Pahang sebagai pusat pengajian dan penyelidikan ilmu hadis dan sekaligus menyemarakkan lagi penyebaran ilmu agama dalam kalangan masyarakat.
“Beliau akan terlibat dalam program-program khas yang dirancang melalui UniPSAS seperti Diskusi Kitab-Kitab Hadis, Syarahan Hadis Perdana, Syarahan Pengajaran-Pengajaran dari Hadis melalui Youtube Akademi Hadis, Syarahan Hadis melalui Facebook Live UniPSAS, Daurah Hadis peringkat Kebangsaan, Bengkel Hadis untuk guru-guru Hadis Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berharap kehadiran Al-Fadil Al-Allamah Al-Syeikh Dr. Abdel Karim Elsayed Elbadawi Ahmed Soliman Al-Nadawi dapat menyemarakkan lagi penyebaran syiar Islam di Negeri Pahang melalui ilmu yang dimiliki beliau.
“Kemahiran Al-Fadil Al-Syeikh dalam bidang ilmu hadis adalah sangat mengagumkan sehingga diiktiraf oleh gurunya iaitu Sheikh Abu Al Hasan An-Nadwi sebagai seorang yang mempunyai kealiman yang sempurna dalam ilmu hadis.
“Beliau bukan sahaja mempunyai Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Ketamadunan dari Universiti Darul Uloom Nadwatul Ulama, Lucknow, Uttar Pradesh di Inndia, bahkan beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam Perubatan dari Universiti Al-Asriyyah, Ramallah, Palestin,” katanya.
Maklumat tambahan, figura terkenal hadis yang dilahirkan di Mansurah Mesir pada 19 Mei 1955 merupakan pendakwah hebat dan unik yang mempunyai ilmu bukan sahaja dalam bidang sains perubatan, malah merupakan pakar dalam ilmu agama khususnya dalam bidang Bahasa Arab, Hadis, Fiqh Al-Syafie, Tasawwuf, Usuluddin dan lain-lain lagi.
Penulisan dan syarahan merupakan medium utama beliau dalam menyumbangkan ilmu pengetahuannya kepada masyarakat serta mendapat pengiktirafan dari Universiti Al-Azhar. -PAHANGMEDIA