Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd. Rahim
KUANTAN, 8 FEBRUARI 2022 : Penjawat Awam di Pahang perlu sentiasa berhadapan cabaran impak transformasi media sosial yang pantas yang mengakibatkan kebebasan tanpa sempadan di mana netizen mengkritik atau meluahkan sebarang rasa tidak puas hati dan keraguan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haj Wan Rosdy Wan Ismail berkata, platform media sosial yang ada pada hari ini seperti Facebook, Instagram, Twitter mahu pun Tik Tok turut digunakan oleh pihak tertentu untuk menghasut rakyat selain dijadikan alat untuk penyebaran berita palsu atau separuh benar.
“Namun, ia tidaklah bermakna bahawa kita mesti tunduk kepada kehendak dan desakan netizen semata-mata cuma kita perlu sentiasa cakna dan bertindak dalam kerangka paradigma baharu demi mengurangkan kesilapan, meningkatkan prestasi kerja dan mencipta kejayaan baru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Penjawat Awam di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di Kuantan, hari ini.
Hadir sama, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Beliau turut mengingatkan agar penjawat awam agar lebih berhati-hati ketika bertugas, cermat dalam tindakan dan bijaksana dalam membuat keputusan.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut berkongsi fokus Kerajaan Negeri pada tahun 2022 agar semua pihak dapat bersatu dalam mencapai hasrat pembangunan yang dirancang antaranya pembinaan Rumah Rakyat Pahang (RRP), Rumah Makmur Pahang dan Rumah Penjawat Awam Pahang.
Selain itu, kerajaan juga memberi fokus kepada projek Skim Tanah Warisan (STW) di daerah Raub, Temerloh, Rompin, Jerantut, Bera dan Maran.
Kerajaan juga menyalurkan peruntukan RM278 juta kepada 21,000 pelajar untuk melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara serta RM2.2 juta bantuan untuk 1,500 peranti digital kepada anak-anak sekolah.
Kerajaan juga turut memberi tumpuan kepada projek-projek pembangunan infrastruktur bekalan air, teknologi maklumat, pembangunan Orang Asli, kada kesihatan warga emas, kerja-kerja pembangunan hutan dan operasi, pembangunan sukan, program keusahawanan, pinjaman mikro kredit kepada belia penternakan dan industri hiliran, pelancongan dan Pahang Go. – PAHANGMEDIA