Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 7 FEBRUARI 2022 : Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melancarkan kempen Pasar Tani Berkonsepkan ‘Lestari dan Pintar’ yang dimulakan di Daerah Kuantan.
Pengerusi FAMA, YH. Dato’ Haji Mohd Fasiah Mohd Fakeh berkata, penstrukturan semula pasar tani berkonsepkan ‘Lestari dan Pintar’ adalah selaras dengan penjenamaan Bandar Kuantan sebagai bandaraya sejak Februari 2021.
“Penstrukturan semula ke arah pasar tani ‘Lestari dan Pintar’ ini akan menyediakan persekitaran yang lebih terurus , selesa, mesra alam dan mesra pengguna terutama ketika pandemik COVID-19 masih melanda negara.
“Justeru FAMA melancarkan kempen pasar tani lestari dan pintar di mana pihak FAMA turut menitikberatkan berkenaan pengurusan tapak, pengurusan sisa buangan, penggunaan pembungkusan mudah urai biodegradasi, galakan kitar semula dan penyeragaman imej ke arah mesra alam dan mesra pengguna,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Kempen Pasar Tani Berkonsepkan ‘Lestari dan Pintar di perkarangan tempat letak kereta Pusat Transformasi Bandar (UTC), di Kuantan.
Hadir sama ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), YH. Dato’ Hamdan Hussin.
Beliau berkata, konsep pasar tani pintar pula diperkenalkan dengan menggunapakai teknologi peranti pintar dalam urusan jual beli barangan dengan aplikasi e-boost, e-wallet, QR code, Agrobazaar Online, Food Panda dan Grab Food untuk mempromosikan barangan.
Penggunaan teknologi ini juga dapat membantu peniaga meluaskan pasaran menerusi gerbang digital dan pasaran secara pemasaran atas talian.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, FAMA kini sudah memasuki perancangan akhir pembinaan Pasar Tani Kekal di dua daerah di negeri ini iaitu Daerah Lipis dan Cameron Highlands.
Pihaknya juga merancang untuk menambah bilangan pasar tani di seluruh Pahang bagi membuka peluang kepada rakyat mendapatkan barangan makanan yang segar terus dari pengeluar sekali gus dapat membantu peniaga menjana pendapatan selepas terjejas ekoran pandemik COVID-19.
Sehingga kini, FAMA mempunyai 23 buah pasar tani di seluruh Pahang dengan bilangan seramai 1,200 peniaga dengan mensasarkan jualan sebanyak RM30 juta pada penghujung 2022 nanti. – PAHANGMEDIA