Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 7 FEBRUARI 2022 : Penganjuran julung kali Cherating Surf Festival 2022 yang juga merupakan acara ketiga dalam kalendar pelancongan Pahang dilihat dapat merancakkan kembali sektor pelancongan di negeri ini.
Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, YB Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali berkata, festival ini juga menyaksikan penyertaan 140 orang peluncur ombak dari serata Malaysia seperti Pahang, Sabah, Johor, Terengganu, Kuala Lumpur dan Kedah.

“Tourism Pahang telah meletakkan usaha untuk memajukan lagi sukan ini dengan menganjurkan festival dan acara pertandingan tempatan dan antarabangsa. Ini telah membantu melonjakkan Cherating sebagai lokasi popular kepada peluncur dari jauh dan dekat.
“Selain itu, apa yang lebih membanggakan, seramai empat orang atlet sukan luncur ombak Malaysia adalah dari negeri Pahang dan mereka telah mewakili Malaysia di dalam kategori Surfing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah acara Cherating Surf Festival 2022 di Pantai Cherating, di sini.
Hadir sama Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim; Presiden Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM), Puan Nur Hawani Norrizan serta Naib Pengerusi Cherating Surf Club, Encik Muhammad Zaim Abdul Hayu.

Sementara itu dalam ucapan sama, Tourism Pahang mencadangkan agensi pelancongan (travel agent) menghasilkan lebih banyak pakej-pakej aktiviti sukan luncur ombak ini di destinasi-destinasi pelancongan.
“Melihat kepada potensi yang ada pada aktiviti sukan luncur ombak ini, ia mampu membangunkan pakej-pakej pelanconcan luncur ombak dan acara-acara suka luncur ombak.
“Ia merupakan satu inisiatif bijak dalam menjana pertumbuhan ekonomi dalam memajukan ekonomi negara khususnya ekonomi masyarakat tempatan setelah dilanda dengan wabak COVID-19-19 hampir dua tahun,” katanya. -PAHANGMEDIA