Ketua Pegawai Eksekutif PAAP, Encik Abdul Hadi Ali (tiga kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir sambil diperhatikan Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari di Dewan Dato' Sri Manan Ismail di Jalan Pintasan Kuantan, hari ini.

TIGA LOJI AIR BAHARU AKAN DIBINA DI TIGA DAERAH

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 6 FEBRUARI 2022 : Tiga loji air baharu bakal dibina di tiga daerah di negeri ini bagi membolehkan rakyat mendapat akses bekalan air bersih mencukupi dalam tempoh beberapa tahun lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Encik Abdul Hadi Ali berkata, pembinaan loji air akan dilaksanakan di daerah Rompin, Temerloh dan Kuantan serta menambah kapasiti bekalan sebanyak 250 juta liter air sehari.

Selain itu, kerja-kerja menaiktaraf loji sedia ada, penambahan tangki-tangki besar dan penggantian paip-paip lama juga akan dilaksanakan di setiap daerah di negeri ini.

“Projek-projek penstrukturan semula air di Pahang membabitkan kos RM920 juta bagi tempoh tahun ini sehingga 2024 dan telah diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Jadi, kita mahu lihat bagaimana Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menggunakan peruntukan ini bagi menambah baik Perkhidmatan bekalan air di Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Misi Pasca Banjir PAAB Prihatin di Dewan Dato Sri Manan Ismail di Jalan Pintasan Kuantan, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari.

Sumbangan tersebut telah diberikan kepada 1,000 penerima dan 10 institusi yang terlibat dengan musibah banjir pada Disember tahun lalu dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM300,000.

Kesemua penerima akan mendapat bantuan barangan keperluan harian seperti kit pembersihan, bantal, selimut dan 10 kilogram beras manakala 10 institusi terlibat pula menerima wang tunai RM10,000.

“Bantuan ini bagi meringankan beban yang dialami akibat kemusnahan harta benda dalam musibah banjir pada penghujung tahun lalu.

“Sokongan pada daripada keluarga Malaysia amat diperlukan pada waktu ini untuk memastikan semua mangsa banjir tidak kira warga emas, dewasa mahupun kanak-kanak dapat bangkit daripada trauma,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download