Oleh : Fansurina Abdullah
MARAN, 6 FEBRUARI 2022 : Kerajaan Pahang bersama Kerajaan Persekutuan sentiasa berusaha membantu rakyat dalam menangani isu kenaikan harga barangan mentah seperti ayam, telur dan ikan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha bagi membantu rakyat berhadapan isu kenaikan harga termasuklah meningkatkan penguatkuasaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di seluruh negara termasuklah Negeri Pahang.
“Kenaikan harga barang seperti telur, di bawah KPDNHEP kita sentiasa mengadakan penguatkuasaan untuk mengawal harga barang, dua bulan lepas berlaku kenaikan harga barang iaitu ayam dan telur, kerajaan pusat telah mengadakan Program Jualan Keluarga Malaysia untuk merendahkan harga telur, ayam, ikan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Program Moh La Weh Pahangfm sempena Ekspo Produk Halal Malaysia 2022 di Perkarangan Stadium Tun Abdul Razak Jengka, semalam.
Pada Ekspo Produk Halal Malaysia 2022 itu, pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berpeluang memasarkan produk masing-masing selepas terkesan teruk ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan COVID-19 sejak tahun 2020.
Justeru, inisiatif mengadakan ekspo seumpama ini dapat membantu para penggiat IKS memasarkan produk mereka dengan mewujudkan medan jualan yang dapat mengumpulkan mereka sekali gus dapat memeriahkan kembali sektor perniagaan. – PAHANGMEDIA