Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Nazri Ngah sewaktu ditemu bual oleh DJ Pahang FM pada Program Moh La Weh Pahangfm sempena Ekspo Produk Halal Malaysia 2022 di Perkarangan Stadium Tun Abdul Razak (STAR) Jengka.

KERAJAAN PAHANG PERUNTUK RM20 JUTA BANTU USAHAWAN IKS TERJEJAS

Oleh : Fansurina Abdullah

MARAN, 6 FEBRUARI 2022 : Kerajaan Pahang memperuntukkan sejumlah RM20 juta bagi membantu usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bagi memulihkan perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, peruntukan itu akan diumumkan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sempena Hari Usahawan Pahang yang dijadualkan pada bulan hadapan.

Menurutnya, pembiayaan perniagaan usahawan IKS akan menerima moratorium pembiayaan perniagaan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM 20 juta secara keseluruhan.

“Bantuan pinjaman minimum sebanyak RM3,000 dan maksimum RM10,000 hanya kepada usahawan IKS yang sudah berniaga sebelum pandemik COVID-19 dan bukannya untuk mereka yang baharu hendak menceburi perniagaan.

“Pinjaman itu diberi bukan sahaja tanpa faedah tetapi juga moratorium selama setahun bagi memulihkan momentum perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada Program Moh La Weh Pahangfm sempena Ekspo Produk Halal Malaysia 2022 di Perkarangan Stadium Tun Abdul Razak (STAR) Jengka.

Menurutnya, kerajaan akan memastikan peniaga IKS yang layak akan dapat menerima manfaat daripada keprihatinan pentadbiran kerajaan negeri ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan berkolaborasi dengan agensi kerajaan seperti Felda bagi menganjurkan Hari Usahawan peringkat negeri dan daerah.

Katanya, penganjuran Hari Usahawan atau ekspo ini menjadi medan kepada usahawan IKS untuk mengembangkan sekaligus dapat memperkenalkan produk terus kepada pelanggan. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download