Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
BENTONG, 4 FEBRUARI 2022 : Kebajikan warga emas di negeri ini turut menjadi perhatian Kerajaan Negeri terutamanya dalam aspek penjagaan kesihatan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara berkenaan diterjemahkan dengan usaha-usaha berterusan dalam memastikan nasib golongan warga emas ini terus terbela dengan sewajarnya.
“Kita semua akan menghadapi usia warga emas dan warga emas ini difahamkan 60 tahun ke atas dan bantuan kita bagi kepada warga emas ini (secara) bersasar.
“Warga emas ini ada yang berusia 70, 80 pon masih sihat seperti yang kita lihat hari ini jadi kita bagi kepada mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas menghadiri jamuan petang Tahun Baru Cina 2022 bersama ahli-ahli Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di Rumah Sejahtera Bentong, di sini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohd Zulkifli Hashim dn Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Pahang, Encik Zulkhairi Zainol Abidin.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua warga emas memanfaatkan setiap bantuan yang disediakan kepada mereka.
“Baru-baru ini kita telah melancarkan Pahang Pride Kasih ataupun kad kesihatan kepada warga emas bernilai RM500 untuk setahun.
“Di sini warga emas ada pilihan, kalau sebelum ini mereka terpaksa pergi ke hospital kerajaan untuk mendapatkan tetapi sekarang mereka boleh memilih untuk ke klinik swasta di mana senarai klinik tersebut telah dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berharap agar warga emas terus menjaga kesihatan kerana pada usia begini memang mudah dihinggapi penyakit terutama sekali dalam situasi kita masih lagi menghadapi pandemik Covid-19. -PAHANGMEDIA