Oleh: Mahathir Ali
PEKAN, 30 JANUARI 2O22 : “Saya mendoakan supaya Allah SWT memberikan kesihatan yang baik kepada Menteri Besar dan Perdana Menteri dan terus dipermudahkan dalam segala urusan mentadbir negara dan Negeri Pahang.”

Itu luahan Encik Abdul Rahim Abdul Hamid, 55, Kampung Temai Hulu di Pekan selepas menerima sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pahang semalam.
Rata mereka yang ditemui selepas menerima BWI meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa mengambil berat dan memahami susah payah kehidupan mereka yang mengalami kerosakan pada rumah dan harta benda akibat banjir yang melanda baru-baru ini.
Menurut Encik Abdul Rahim usaha Kerajaan Pusat dan Kerajaan Pahang yang memberi BWI ini kepada mangsa banjir amat memberi kesan mendalam kepada mereka yang terlibat terkesan akibat bencana itu.
“Sangat-sangat bersyukur dengan sumbangan ini, sebab saya tidak bekerja dah dua tahun, boleh buat belanja untuk ubat dan semua. Terima kasih kepada Menteri Besar dan Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Sulaiman, 83, dari Kampung Acheh, Pekan memanjatkan doa kehadrat Allah SWT, memohon semoga YAB Perdana Menteri dan YAB Menteri Besar Pahang diberi kesihatan yang baik dan terus dipermudahkan dalam segala urusan mentadbir negara dan Negeri Pahang.
“Saya mendoakan supaya Allah SWT memberikan kesihatan dan kesejahteraan kepada pemimpin-pemimpin di peringkat daerah negeri dan negara. Dengan adanya sumbangan seperti ini dapat sedikit meringankan beban ditanggung oleh rakyat,” katanya.
Bagi Asri Mohammad, 56, dari Pulau Keladi, Pekan memuji usaha murni oleh YAB Menteri Besar Pahang, selaku ketua kerajaan Pahang yang juga mengumumkan pengecualian pembayaran bil air selama tiga bulan bagi penduduk yang terlibat di kawasan terjejas banjir. Katanya, usaha itu amat bermakna kepada mangsa banjir di negeri ini yang mengalami kerugian teruk akibat banjir.

Untuk makluman, Lebih 4,000 mangsa banjir di Daerah Pekan terlibat menerima BWI termasuk 3,205 KIR yang tidak berpindah ke PPS dengan peruntukkan keseluruhan berjumlah hampir RM6 Juta.
Setiap mangsa banjir menerima sumbangan BWI berjumlah RM1,500 iaitu RM500 dari Kerajaan Negeri dan RM1,000 dari Kerajaan Persekutuan. – PAHANGMEDIA