YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan MTL 2021/2022 Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.

MESYUARAT NACCOL AKAN TURUT DIHADIRI WAKIL PERSATUAN PENGGUNA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

BERA, 29 JANUARI 2022 : Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) oleh Kerajaan pada Isnin ini akan turut dihadiri oleh wakil persatuan pengguna.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata jemputan ini bagi mendapatkan pandangan daripada pandangan kaca mata persatuan pengguna.

“Isnin depan saya telah pun memanggil jawatankuasa kabinet bagi kos sara hidup dan kita akan mendengar pembentangan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, dan juga Kementerian Pertanian begitu juga kementerian-kementerian lain yang bimbang dengan kenaikan harga barang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, yang juga Ahli Dewan Negeri Guai, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman menyampaikan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan MTL 2021/2022 Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.

“Dalam masa yang sama saya jemput FOMCA yang merupakan persatuan pengguna peringkat nasional dan juga Persatuan Pengguna Pulau Pinang juga.

“Saya minta mereka hadir untuk memberi pandangan daripada pandangan kaca mata persatuan pengguna. Apa yang boleh kita laksanakan bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan MTL 2021/2022 Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, yang juga Ahli Dewan Negeri Guai, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman; dan dan Pegawai Daerah Bera, YH. Dato’ Zaman Azam Mohamat Sarif@Ahmat.

Bantuan RM2,500 yang mula diberikan oleh Kerajaan hari ini telah disampaikan kepada 1,157 penerima di daerah ini hari ini.

Beliau berkata mesyuarat berkenaan juga akan turut meminta penjelasan daripada semua pihak berkaitan dengan kenaikan harga barangan.

“…seperti pengangkutan, kos pengangkutan juga boleh dikatakan akan menjadi salah satu punca juga. Jadi semua yang berkaitan dengan kenaikan harga barang kita akan minta penjelasan,” katanya.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan MTL 2021/2022 Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai surcaj 3.70sen per kilowatt jam yang akan dikenakan kepada pengguna komersial dan industri bermula 1 Februari ini, beliau berkata Kerajaan telah memberikan subsidi kepada pengguna kategori ini sebanyak RM1.61 bilion.

“Kerajaan telah berbelanja besar memberikan subsidi kepada industri dan syarikat-syarikat komersial ini. Lebih daripada RM1 bilion dibelanjakan untuk memberikan subsidi kepada syarikat-syarikat besar terutamanya industri.

“Setengah industri itu produk dia untuk dieksport dan sebagainya tak ada direct impact kepada rakyat sebenarnya tapi kita berikan subsidi juga. Jadi konsep subsidi itu adalah salah kalau kita berikan kepada syarikat-syarikat besar ini. Subsidi untuk orang yang miskin,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan juga telah membuat keputusan pengguna domestik tidak akan dibebankan dengan kenaikan kos bahan api atau kos bahan penjana yang lain. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download