KUANTAN, 26 JANUARI 2022 : Di sebalik kedukaan berdepan bencana menyebabkan kediaman mereka ditenggelami bah, kira-kira 243 mangsa banjir yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara bersyukur
dengan keprihatinan agihan Bantuan Wang Ihsan yang disalurkan Kerajaan Pahang.
Penduduk dari Dewan Negeri Kuala Sentul dan Dewan Negeri Luit itu turut berterima kasih kerana Bantuan Wang Ihsan diterima awal sekaligus membolehkan mereka membeli barang keperluan asas.
Bantuan Wang Ihsan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin kepada penerima di Maran semalam.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Maran, YB. Dato’ Sri Dr. Haji Ismail Haji Abd. Muttalib dan Ahli Dewan Negeri Luit, YB. Encik Mohd Sofian Abd Jalil.
YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza dalam satu hantaran di Facebooknya semalam berkata, setiap mangsa banjir menerima sumbangan berjumlah RM1,500 iaitu RM500 daripada Kerajaan Negeri dan RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan.
Katanya lagim penerima-penerima wang ihsan banjir kali ini juga merupakan mangsa-mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS.
Justeru beliau berharap semoga dengan sumbangan-sumbangan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban mereka. – PAHANGMEDIA