Oleh: Fairus Mohd
MARAN, 23 JANUARI 2022 : Pemberian bantuan Kerajaan Negeri kepada setiap golongan rakyat yang disenaraiperlu tidak pernah terhenti malah dipelbagaikan dari semasa ke semasa.
Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin berkata, selain ingin memastikan rakyat dapat meneruskan kehidupan dengan baik, ia menjadi lambang kestabilan Kerajaan Negeri dari pelbagai sudut.
“Hari ini saya menyampaikan cek-cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang yang telah diluluskan oleh YAB Menteri Besar Pahang kepada 24 orang penerima di Dewan Negeri (DN) Kuala Sentul, Maran.
“Ia melibatkan perbelanjaan sebanyak RM162,000 dan ia juga satu jumlah yang besar, namun Kerajaan Negeri sentiasa bersedia demi kelangsungan hidup rakyat,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebook miliknya.
Antara cek sumbangan yang diserahkan ialah bantuan kewangan bagi penternakan dan pertanian, sakit kritikal, bantuan perniagaan, baik pulih rumah, pembelian komputer riba untuk pelajar serta bagi program masjid.
Sementara itu beliau menegaskan bahawa peranan wakil rakyat di setiap peringkat tidak hanya terbatas sebagai pentadbir kawasan tetapi ia turut meliputi tanggungjawab menjaga kebajikan anggota masyarakat di kawasannya.
“Kesukaran serta ujian hidup yang dialami rakyat sentiasa dititikberatkan dan cuba diselesaikan melalui usaha menyenaraikan mereka bagi mendapatkan bantuan sewajarnya.
“Ini adalah amanah rakyat di mana kita perlu sentiasa bersedia dalam membantu mereka selain berusaha memastikan tiada penduduk di kawasan tadbir keciciran dari segi bantuan mahupun perhatian,” katanya. -PAHANGMEDIA