Oleh : Fansurina Abdullah
BENTONG, 23 JANUARI 2022 : Peneroka di FELDA Kemasul, Bentong bersyukur kerana menerima Suratan Hak Milik tanah yang telah diusahakan oleh Kerajaan Pahang.
Seorang penerima, Encik Saidin Mohd Isa, 72, berkata, beliau yang berasal dari Pendang, Kedah telah menetap di FELDA Kemasul selama 40 tahun tidak pernah berputus asa untuk memiliki geran tersebut dan berasa sangat gembira serta bersyukur kerana akhirnya tanah yang diusahakan selama ini menjadi hak miliknya.
Menurutnya, beliau tidak pernah berputus asa untuk memiliki geran tanah yang telah lama diusahakan dan yakin bahawa kerajaan pasti memberi suratan hak milik kepada yang berhak.

“Saya sentiasa yakin dan berharap bahawa geran ini akan menjadi milik kami semua yang telah mengusahakan tanah ini selama berpuluh tahun,” katanya.
Sementara itu, Puan Salamah Sidek, 65, mewakili arwah suaminya, Zainuddin Yaakub, yang telah meninggal dunia lima tahun lalu, berasa sangat terharu meskipun suaminya telah tiada namun beliau dan keluarga turut menerima suratan hak milik berkenaan.
“Terima kasih kepada Kerajaan Pahang kerana memberikan tempat dan rezeki di FELDA Kemasul ini, jadi terima kasih banyak Menteri Besar dengan dapatnya geran ini,” katanya.
Seorang lagi peneroka, Encik Mokhtar Md Saman, 74, yang juga menetap di FELDA Kemasul lebih 40 tahun turut merasa gembira kerana diberikan suratan hak milik dan berhasrat untuk memanfaatkan geran tersebut demi kebaikan kepada keluarganya.
“Perancangan untuk tanah ini untuk dimajukan dan akan diteruskan oleh anak-anak walaupun saya telah tiada nanti,” katanya.
Semalam, seramai 389 peneroka di FELDA Kemasul, di Bentong menerima suratan hak milik masing-masing yang telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Sejumlah 1.9 juta hektar keluasan tanaman kelapa sawit telah diserahkan kepada pemilik yang telah diagihkan beberapa peringkat kepada semua peneroka. – PAHANGMEDIA