YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik peneroka FELDA Kemasul di Bentong

KERAJAAN PAHANG TAMBAH RM19,000 BAGI PEMBINAAN RUMAH KASIH DI PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

BENTONG, 22 JANUARI 2022 : Kerajaan Pahang bersedia menambah jumlah peruntukan membina semula rumah baharu bagi penduduk terjejas banjir, baru-baru ini, di bawah insentif Rumah Kasih Keluarga Malaysia sebanyak RM19,000 menjadikan jumlah keseluruhan ialah RM75,000 sebuah.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jumlah itu ditambah supaya kos pembinaan setara dengan harga barangan pembinaan semasa yang semakin tinggi sebagaimana perlaksanaan projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang telah dilaksanakan di negeri ini.

“Saya berpandangan, Kerajaan Pahang telah melaksanakan program Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 dan nilai tersebut tidak dapat menampung kerja pembinaan kerana harga barang naik.

“Jadi kerajaan negeri bersetuju untuk menaikkan rumah RRP kepada RM75,000 dan saya telah bermesyuarat bersama kerajaan persekutuan untuk mohon menambah RM19,000 menjadikan sebuah rumah RM75,000 dan konsepnya seperti mana Rumah Rakyat Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik kepada 389 peneroka di FELDA Kemasul, Bentong, hari ini.

Hadir sama ialah barisan Exco Kerajaan Pahang, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohd Zulkifli Hashim dan Ketua Peneroka Rancangan FELDA Kemasul, Encik Roslan Alias.

Dalam pada itu, katanya, kos pembinaan bagi Rumah Rakyat Pahang (RRP) juga turut ditambah sebanyak RM10,000 menjadikan kos pembinaan terbaharu ialah RM75,000 selepas mendapat maklum balas daripada beberapa pihak berkaitan ekoran kenaikan harga barang bagi kerja-kerja pembinaan.

Kerajaan Pahang telah melaksanakan RRP sejak tiga tahun lalu dan diberikan secara percuma kepada penerima yang layak.

Terbaru, kerajaan negeri telah menambah jumlah RRP di seluruh Pahang sebanyak 266 buah pada tahun ini berdasarkan sambutan yang baik dan selaras keperluan rakyat. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download