Oleh : Fansurina Abdullah
BENTONG, 22 JANUARI 2022 : Kerajaan Pahang memberikan pengecualian denda bagi kelewatan pembayaran cukai tanah kepada 389 peneroka FELDA Kemasul, di Bentong.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pengecualian tersebut membabitkan jumlah hampir RM500,000.

“Kerajaan negeri telah memutuskan supaya mereka semua tidak perlu membayar denda lewat cukai yang berjumlah hampir RM500,000.
“Jadi ini memberi kelegaan kepada mereka di samping mendapat suratan hak milik, mereka juga mendapat khabar gembira mereka dikecualikan daripada membayar denda lewat cukai kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Suratan Hak Milik peneroka FELDA Kemasul, di sini, hari ini.
Hadir sama ialah barisan Exco Kerajaan Pahang, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak, Pegawai Daerah Bentong, YH. Dato’ Mohd Zulkifli Hashim dan Ketua Peneroka Rancangan FELDA Kemasul, Encik Roslan Alias.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy memaklumkan kesediaan kerajaan negeri menambah jumlah peruntukan membina semula rumah baharu bagi penduduk terjejas banjir, baru-baru ini, di bawah insentif Rumah Kasih Keluarga Malaysia sebanyak RM19,000 menjadikan jumlah keseluruhan ialah RM75,000 sebuah.
“Saya berpandangan, Kerajaan Pahang telah melaksanakan program Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 dan nilai tersebut tidak dapat menampung kerja pembinaan kerana harga barang naik.
“Jadi kerajaan negeri bersetuju untuk menaikkan rumah RRP kepada RM75,000 dan saya telah bermesyuarat bersama kerajaan persekutuan untuk mohon menambah RM19,000 menjadikan sebuah rumah RM75,000 dan konsepnya seperti mana Rumah Rakyat Pahang,” katanya.- PAHANGMEDIA