Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin bersama pasangan bertuah penerima sumbangan Pahang Pride Kid selepas anak mereka dilahirkan pada 9 Januari lalu di Taman Bukit Mentakab, Temerloh, semalam.

PAHANG PRIDE KID SATU PROGRAM MEMPERKASA SUMBER MANUSIA

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

TEMERLOH, 17 JANUARI 2022 : Program Pahang Pride Kid 2022 merupakan satu program memperkasakan sumber manusia dalam jangka masa panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata ini kerana Kerajaan Pahang akan melihat perkembangan anak-anak ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin mendukung bayi pertama dilahirkan di Temerloh pada tahun ini, Khadeejah Amelia Muhammad Akashyah yang dilahirkan pada 9 Januari lalu sekaligus menjadi penerima sumbangan Pahang Pride Kid di Taman Bukit Mentakab, Temerloh, semalam.

“Jadi ini merupakan program yang diilhamkan oleh YAB Menteri Besar untuk kita buat tracking dan latar belakang bayi ini. Dan kita nak tengok 5 tahun dari sekarang, 10 tahun dari sekarang, 20 tahun dari sekarang, bagaimana perkembangan (anak-anak ini) supaya kita dapat adakan satu program supaya kita boleh mensasarkan dari segi apa yang kita sebut sebagai memperkasakan sumber manusia.

“Jadi kita bermula daripada mereka lahir, yang kita kira mereka ini rakyat Pahang kerana lahir di Pahang dan kalau mereka ini baik dalam pendidikannya kita akan bagi mereka biasiswa dan seterusnya sehingga mereka meneruskan karier pekerjaan, perkahwinan dan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Pahang Pride Kid 2022 pertama di daerah Temerloh di Taman Bukit Mentakab, di sini, semalam.

Beliau berkata program ini juga adalah salah satu cara Kerajaan Pahang memuliakan bayi yang baru dilahirkan di negeri ini.

“Jadi ini (Program Pride Kid 2022) merupakan satu program jangka masa panjang yang saya yakin dan percaya bahawa ianya adalah untuk kita muliakan bayi tanpa mengira bangsa, siapa sahaja yang dilahirkan di Pahang kita anggap mereka sebagai Pahang Pride Kids,” katanya.

Puan Siti Rahimah Razman, 32, menunjukkan sumbangan Pahang Pride Kid yang diterimanya selepas melahirkan anak pada 9 Januari lalu di Taman Bukit Mentakab, Temerloh, semalam.

Sementara itu, penerima pertama Pahang Pride Kid 2022 di daerah Temerloh, Puan Siti Rahimah Razman, 32, melahirkan rasa berterima kasih diatas rezeki yang tidak disangka ini.

“Alhamdulillah untuk sumbangan Pahang Pride Kid, rezeki kami tahun ini. Orang pertama pulak tu terima ini di sini (Temerloh). Jadi orang pertama terima ni rasa terharu, dan tak sangka juga Dato Sri Sharkar sendiri datang rumah kami.

“Bantuan ini sangat membantu untuk orang susah, macam saya surirumah, dapat pula set pantang ni semua, memang membantu sangat. Bagi duit lagi untuk baby. Terima kasih sangat,” katanya.

Bayinya Khadeejah Amelia Muhammad Akashyah yang dilahirkan pada 9 Januari lepas merupakan anak pertama di daerah ini yang menerima sumbangan RM200 iaitu kit barangan penjagaan bayi dan ibu serta wang saguhati daripada program ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download