Oleh : Fansurina Abdullah
LIPIS, 8 JANUARI 2022 : YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkesempatan menyantuni masyarakat Orang Asli Kuala Koyan selepas meraikan mereka pada satu majlis ramah mesra.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pada majlis tersebut, beliau bukan sahaja meraikan masyarakat Orang Asli malah turut menyampaikan pelbagai cek sumbangan Kerajaan Negeri.
“Terubat kerinduan saya kepada masyarakat Orang Asli selepas bertemu mereka di Kuala Koyan pada petang tadi.
“Saya meraikan mereka dalam satu majlis ramah mesra dan menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Negeri kepada 10 penerima bagi menampung kos membina rumah adat, rawatan pesakit kronik, membaik pulih rumah dan menampung kos pengajian ke menara gading,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook rasmi miliknya.
Katanya, pada majlis sama masyarakat Orang Asli Kuala Koyan turut menerima dividen bulanan daripada hasil ladang bagi Projek Tanam Semula Komersial (TSK) yang diuruskan oleh Syarikat MXF Gemilang Enterprise sejak tahun 2020.
“Syarikat ini dimiliki oleh penduduk Orang Asli Kuala Koyan sendiri dan sehingga ke hari ini tidak pernah gagal membayar dividen bulanan dan juga bonus tahunan kepada para peserta berjumlah RM133,000, baru-baru ini,” katanya.
Pada Disember 2021 lepas, seramai 133 peserta telah menerima bonus tahunan bagi tahun 2021 berjumlah RM1,000 seorang hasil daripada ladang TSK yang diusahakan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menjaga kebajikan Orang Asli termasuklah soal pendidikan, ekonomi, kehidupan, pertanian, pembangunan infrastruktur dan sebagainya dengan menghulurkan pelbagai bantuan apabila diperlukan. -PAHANGMEDIA