Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 01 JANUARI 2022 : Semua bayi yang dilahirkan di negeri ini tetap akan menerima sumbangan sebanyak RM200 menerusi Program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid) walaupun ibu bapanya bukan merupakan rakyat Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata sumbangan itu yang bermula hari ini merupakan sebahagian insentif daripada Belanjawan Pahang 2022 yang dibentangkan pada Disember lalu.

“Kita akan bagi sumbangan ini kepada bayi yang dilahirkan di Pahang. Asalkan lahir di bumi Pahang, tak kisah ibu bapa dari negeri mana.
“Kalau dia datang bercuti di Pahang contohnya, tiba-tiba dia bersalin di sini, kita akan bagi. Asalkan bersalin di bumi Pahang.
“Tapi kalau ada di antara ibu-ibu (dari Pahang) yang mengandung, pergi ke Kuala Lumpur, dan sampai masa melahirkan di Kuala Lumpur, itu tidak dikira,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat bayi yang dilahirkan di Pahang Medical Center (PMC) dalam Projek Rintis Kemasyarakatan Bantuan Sokongan Keluarga: Program Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid) hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin
Menurut beliau lagi, sumbangan bernilai RM200 ini akan diberikan dalam bentuk barangan dan juga wang yang dimasukkan ke akaun bank.
“Dan kita pun telah menyerahkan barangan bernilai RM100 kepada ibu dan RM100 lagi kita akan masukkan ke dalam akaun bank, menjadikan jumlahnya RM200.
“Saya sangat bangga kerana apa yang telah dijanjikan, yang telah dibentangkan semasa belanjawan negeri tempoh hari, telah kita tunai, dan insyaAllah akan diteruskan sehingga ke hujung tahun 2022.
“Dan insyaAllah pada tahun berikutnya kita akan fikirkan, diteruskan dan nilainya bergantung kepada kedudukan kewangan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata sumbangan ini juga adalah sebagai galakan secara tidak langsung kepada ibu bapa dan satu cara melahirkan rasa bangga menjadi anak Pahang.
“Ini juga sebagai galakkan secara tidak langsung kita selain melahirkan rasa kebanggan kita terhadap anak-anak yang lahir di negeri Pahang,” katanya.
Sebanyak 16 bayi dilahirkan di negeri ini setakat 5.30 petang hari ini dan Kerajaan Pahang menjangkakan sumbangan ini akan dapat diterima oleh 25,000 ibu dan bayi yang dilahirkan di negeri ini pada tahun ini. -PAHANGMEDIA