Gambar hiasan

RM7.813 JUTA WANG IHSAN BANJIR TELAH DIAGIH

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

TEMERLOH, 01 JANUARI 2022 : Kerajaan Pahang telah mengagihkan RM7.813 juta Bantuan Wang Ihsan melibatkan 5,159 ketua atau hampir 40 peratus ketua isi rumah berdaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini setakat semalam.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata bantuan ini telah mula diagihkan pada 28 Disember lepas di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir di daerah Temerloh pada program Misi Bantuan Keluarga Malaysia Kepada Mangsa Banjir Parlimen Temerloh Bersama YAB Perdana Menteri Malaysia di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) Lanchang, Temerloh hari ini.

“Tak pernah dalam sejarah pemberian wang ihsan banjir ini dapat dilaksanakan secepat dan sesegera seperti mana banjir pada kali ini. Kalau sebelum ini hampir enam bulan baru mangsa banjir dapat bantuan ini.

“Kerajaan Negeri Pahang telah menerima peruntukan bagi Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM20.65 juta pada 24 Disember 2021.

“Dan kita di Negeri Pahang telah mula mengagihkan Bantuan Wang Ihsan tersebut kepada KIR yang berpindah ke PPS bermula pada Selasa lepas iaitu 28 Disember 2021 sebaik sahaja diumumkan oleh YAB Perdana Menteri semasa di Bentong tempoh hari agar agihan dibuat segera jika boleh sebelum mangsa balik daripada PPS,” katanya.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Misi Bantuan Keluarga Malaysia Kepada Mangsa Banjir Parlimen Temerloh Bersama YAB Perdana Menteri Malaysia di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) Lanchang di sini hari ini.

Hadir sama, YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; dan Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin.

Beliau berkata Kerajaan Pahang juga telah mengarahkan semua Pegawai Daerah supaya menyelesaikan pengagihan wang bantuan ini dalam kadar segera.

“Pengagihan ini akan diteruskan dalam tempoh beberapa hari ini dan saya telah gesa supaya semua Pegawai Daerah menyelesaikan segera pengagihan ini.

“Dan pada hari ini sahaja, seramai kira-kira 600 orang KIR di Lanchang ini akan menerima Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,500,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Temerloh berkata sebanyak 6,346 tan sampah akibat bencana banjir telah dilupuskan setakat hari ini di daerah ini.

“Kita telah lupuskan sebanyak 6,346 tan sampah melibatkan 910 trip daripada lokasi kutipan ke pusat pelupusan.

“Dan hampir 90 peratus kutipan sisa banjir telah pun selesai dibersihkan dalam fasa satu setakat ini,” katanya.

Setakat 2 petang ini, sebanyak 1,974 mangsa daripada 616 keluarga masih berada di 32 PPS di negeri ini dengan 711 mangsa daripada 224 keluarga melibatkan tujuh PPS berada di daerah Temerloh. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download