Al-Fadhil Ustaz Azraie Mohamed Saballah (tiga kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada mangsa banjir menerusi Program Kongsi Rezeki anjuran Masjid Sultan Mahmud, Kuala Lipis

MASJID SULTAN MAHMUD AGIH RM15,000 BANTUAN KEPADA MANGSA BANJIR

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 28 DISEMBER 2021 : Masjid Sultan Mahmud, Kuala Lipis mengagihkan sejumlah RM15,000 bantuan menerusi Program Kongsi Rezeki kepada 150 mangsa banjir di sekitar daerah tersebut.

Imam 1 Masjid Sultan Mahmud Kuala Lipis, Al-Fadhil Ustaz Azraie Mohamed Saballah berkata, kesemua penerima merupakan mereka yang terjejas teruk ekoran bencana banjir yang melanda, baru-baru ini.

“Musibah banjir yang melanda baru-baru ini tidak dipinta oleh sesiapa dan memberi kesan yang teruk kepada sebahagian penduduk di sekitar bandar Kuala Lipis.

“Justeru, pihak masjid telah mengadakan kutipan orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang selain sumbangan daripada pihak masjid sendiri bagi membantu meringankan bebanan mangsa yang terkesan teruk pada banjir kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini, hari ini.

Kutipan sama telah dilakukan ketika banjir berlaku pada awal tahun ini apabila turut melibatkan kemusnahan dan kerosakan sebahagian penduduk daerah itu.

Bantuan telah diagihkan kepada penduduk tanpa mengira kaum dan agama melibatkan penduduk di Taman Fah Choon, perumahan PPRT, kuarters JKR, Taman Dal Sing, Taman LKNP, Jalan Pekeliling, Taman Lipis Impian dan Desa Jeram Batu.

“Semoga mereka semua tabah menghadapi ujian berat yang melanda dan kami sangat mengalu-alukan orang ramai yang ingin turut sama menyumbang bagi meringankan bebanan yang ditanggung mangsa banjir kali ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download