Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 27 DISEMBER 2021: Jumlah mangsa banjir di Pahang terus menurun kepada 13,389 orang daripada 4,275 keluarga yang ditempatkan di 101 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Daerah Temerloh merupakan paling ramai mangsa iaitu seramai 5,905 orang daripada 1,771 keluarga berada di 25 PPS diikuti Bentong 2,980 mangsa daripada 1,163 keluarga dipindahkan ke 15 PPS dan Pekan dengan 1,778 mangsa daripada 570 keluarga dipindahkan ke 25 PPS.
Selain itu, Bera mencatatkan 1,150 mangsa daripada 324 keluarga dipindahkan ke 11 PPS, Maran 1,167 mangsa daripada 334 keluarga dipindahkan ke 21 PPS manakala Kuantan 409 mangsa daripada 113 keluarga dipindahkan ke 4 PPS.
“Musibah banjir ini juga telah mengorbankan 19 orang mangsa daripada Kuantan, Pekan, Temerloh dan Bentong,” katanya.
Beliau berkata, jalan yang ditutup di seluruh negeri ini juga menurun kepada sembilan jalan melibatkan lapan daerah disebabkan banjir dan juga tanah runtuh.
Di Pekan, Jalan Kuantan – Segamat, Bentong, Jalan Southern Loop, Jerantut, Jalan Kuala Lipis – Jerantut, Maran, Jalan KL – Kuantan, Raub, Jalan Ulu Dong, Temerloh, Jalan Temerloh – Jerantut dan Jalan Paya Luas – Perlok, Kuantan, Jalan Sungai Lembing dan Daerah Lipis, Jalan Bentong – Gua Musang. -PAHANGMEDIA