Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 27 DISEMBER 2021 : Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sedang mengumpul dan melupuskan al-Quran serta bahan bercetak yang mengandungi ayat al-Quran yang mengalami kerosakan akibat banjir.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Encik Noridzuan Abdul Manan berkata, bahan bacaan berkenaan yang tidak boleh digunakan lagi perlu dikumpul di masjid kariah dan surau setempat.
“Pihak JAIP akan menjalankan aktiviti mengambil dan mengumpul al-Quran serta bahan bercetak yang mengandungi ayat al-Quran yang telah rosak secara berperingkat sebelum dilupuskan bertujuan memelihara kemuliaan al-Quran dan dilupuskan mengikut tatacara pelupusan yang ditetapkan JAIP mengikut kaedah hukum syarak seiring dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan,” katanya.
Menerusi satu perkongsian di laman Facebook rasmi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), operasi pelupusan dilakukan di Kampung Temin, Jerantut sebelum abu bahan bakar dilepaskan ke laut.
Jelasnya, pada kejadian banjir awal Januari lalu, pihak JAIP telah mengumpul dan melupuskan lebih 15 tan al-Quran rosak seluruh Pahang. – PAHANGMEDIA