Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 27 DISEMBER 2021 : YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob diminta mempertimbangkan jumlah bantuan RM5,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang mengalami kerosakan teruk akibat musibah banjir, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin berkata, bantuan ini wajar dipertimbangkan apabila kebanyakan mangsa yang masih terkesan akibat penularan COVID-19 kini berhadapan kemusnahan harta benda akibat bencana banjir.
“Musibah banjir yang berlaku pada kali ini turut melibatkan Daerah Temerloh khususnya penduduk yang tinggal berdekatan kawasan sungai di mana menyaksikan ramai mangsa yang berdepan kerosakan ‘total lost’.
“Saya berpandangan, adalah wajar Kerajaan Pusat dan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob untuk mempertimbangkan bantuan khas RM5,000 buat setiap keluarga yang terjejas ekoran banjir kali ini kerana kebanyakan mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan memerlukan bantuan kerajaan bagi memulihkan kembali kehidupan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, hari ini.
Beliau percaya, menerusi bantuan RM5,000 itu nanti membolehkan mangsa membeli dan memperbaiki peralatan rumah yang rosak seperi barangan elektrik dan perabot.
“Tangguhkan sementara projek-projek mega yang ingin dilaksanakan seperti projek 5G dan beri tumpuan penuh kepada membantu rakyat yang terjejas teruk ekoran musibah banjir kali ini,” katanya. – PAHANGMEDIA