JUMLAH MANGSA BANJIR DI PAHANG TERUS MENURUN

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 27 DISEMBER 2021: Jumlah mangsa banjir di Pahang terus menurun kepada 16,372 orang daripada 5,080 keluarga yang ditempatkan di 117 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Daerah Temerloh merupakan paling ramai mangsa iaitu seramai 7,675 orang daripada 2,220 keluarga berada di 31 PPS diikuti Bentong 3,067 mangsa daripada 1,196 keluarga dipindahkan ke 16 PPS dan Bera dengan 1,975 mangsa daripada 557 keluarga dipindahkan ke 17 PPS.

Selain itu, Pekan 1,917 mangsa daripada 614 keluarga dipindahkan ke 25 PPS, Maran 1,311 mangsa daripada 377 keluarga dipindahkan ke 24 PPS manakala Kuantan 427 mangsa daripada 116 keluarga dipindahkan ke 4 PPS.

“Musibah banjir ini juga telah mengorbankan 19 orang mangsa daripada Kuantan, Pekan, Temerloh dan Bentong,” katanya.

Beliau berkata, jalan yang ditutup di seluruh negeri ini juga menurun kepada sembilan jalan melibatkan lapan daerah disebabkan banjir dan juga tanah runtuh.

Di Pekan, Jalan Kuantan – Segamat, Bentong, Jalan Southern Loop, Jerantut, Jalan Kuala Lipis – Jerantut, Maran, Jalan KL – Kuantan, Raub, Jalan Ulu Dong, Temerloh, Jalan Temerloh – Jerantut dan Jalan Paya Luas – Perlok, Kuantan, Jalan Sungai Lembing dan Daerah Lipis, Jalan Bentong – Gua Musang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download