Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa banjir di Pekan.

MANGSA BANJIR DIHARAP TERUS SABAR DAN TABAH – KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 26 DISEMBER 2021 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berharap mangsa banjir di negeri ini terus bersabar dengan dugaan yang sedang dihadapi.

Seri Paduka Baginda bertitah, pengalaman beberapa kali menghadapi musibah ini dipercayai telah menguatkan fizikal dan mental penduduk di kawasan yang terlibat.

“Memang banjir di Negeri Pahang khususnya di daerah Pekan ini selalu sangat lah..masa tahun 1926, tahun 1946 ke 1948 begitulah, tahun 1960, 1971, 2007, 2013/2014, 2020 dan tahun 2021 ini (banjir) dah jadi macam biasa kepada kita semua.

“Kita memang harap supaya ini (banjir) tidak berlaku tapi ini semua kehendak Allah. Saya percaya rakyat pun dah memahami dengan keadaan dan mereka pun faham dengan arahan-arahan daripada agensi kerajaan suruh berpindah ke PPS, mereka akur dengan arahan,” titah baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli ke PPS di Pekan hari ini.

Baginda bertitah demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika mencemar duli menziarahi dan menyampaikan kurniaan kepada mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, hari ini.

Seri Paduka Baginda berkenan menziarahi dan menyampaikan kurniaan kepada mangsa banjir di empat buah PPS lain iaitu di SK Pulau Manis, Balairaya Kampung Tebat, SMK Lepar dan SK Lepar.

Turut berangkat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Hadir sama mengiringi baginda, Ketua Polis Pahang, YH Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf, Pegawai Daerah Pekan, YH Dato’ Zaliza Zulkefli, Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB Dato’ Khairuddin Mahmud serta pemimpin setempat.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli ke PPS di Pekan hari ini.

Dalam pada itu, Seri Paduka Baginda turut berpesan agar semua rakyat di negeri ini terutamanya yang tinggal di kawasan berisiko berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan ramalan gelombang kedua.

“Saya berharap cuaca akan baik pada masa akan datang.. dalam pada itu harap (mangsa banjir) bersabarlah sementara tinggal di PPS ini, doalah semua selamat.

“Kita ada dengar gelombang kedua akan datang tapi kita harap tidaklah (berlaku), namun dalam pada itu kita harus bersiap siaga juga dengan sebarang kemungkinan (gelombang kedua). Berdoalah agar cuaca lebih baik, InsyaAllah,” titah baginda. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download