Oleh: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 25 DISEMBER 2021 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meneruskan ziarah baginda ke daerah-daerah yang terjejas akibat banjir bagi melihat sendiri kemusnahan dan penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh mangsa banjir.
Selepas Bentong, Bera dan Temerloh, KDYMM Tuanku meneruskan ziarah baginda ke daerah Maran dan sekali lagi ke Temerloh semalam dan Baginda meluangkan masa seharian menziarahi kedua-dua daerah itu.

Antara pusat pemindahan banjir (PPS) yang dikunjungi baginda adalah SK Jengka Batu 13, SK Pesakit, SK Kampung Telok dan SK Sekara.
KDYMM Tuanku turut menyantuni dan beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir di PPS serta mengurniakan sumbangan peribadi serta sumbangan daripada Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP). – PAHANGMEDIA