Oleh: Fairus Mohd
PEKAN, 24 DISEMBER 2021 : Penyediaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang selesa dan lengkap memudahkan mangsa banjir terutamanya golongan warga emas, bayi serta Orang Kurang Upaya (OKU).
Bagi Encik Ismail Jaafar, 55, yang mengalami masalah penglihatan, kemudahan yang disediakan di PPS IKBN Pekan yang dihuni amat disyukuri.

“Alhamdulillah, semua okay tak ada masalah.. saya selesa di sini, dah biasa macam ni (jadi mangsa banjir).
“Terima kasih kepada pihak yang berwajib kerana menyediakan pusat (PPS) yang baik ini,” katanya ketika ditemui Pahang Media semalam.
Mangsa banjir dari Kampung Pelak, Puan Lina Tamadin, 38, turut bersyukur kerana dapat menjalani masa sukar di tempat yang selesa.

Mengakui bahawa pihak pengurusan PPS yang dihuni sentiasa menjaga kebajikan mereka serta mengambil tahu keadaan setiap mangsa banjir yang ditempatkan di sini.
“Terima kasih kepada pihak berwajib yang bagi kita tinggal di tempat yang selesa.. Makan cukup, tidur okay.. Terima kasih tak terhinggalah dalam keadaan kita ditimpa musibah ni,” katanya.
Bagi warga emas dari Kampung Tanjung Cempaka, Puan Maimunah Salleh, 79, turut mensyukuri segala bantuan seadanya yang diterima sejak ditempatkan di PPS di sini empat hari lalu.

“Saya bersyukur, makan minum semua ada, dijaga dengan baik. Ada ruang solat, tandas yang bersih dan selesa.
“Semua keperluan di sini lebih daripada mencukupi. Hanya rasa syukur dapat dirasai ketika menghadapi bencana banjir ini,” katanya.
Sehingga semalam, seramai 140 mangsa terdiri daripada 52 buah keluarga dari tiga buah kampung ditempatkan di PPS ini sejak Isnin lalu. – PAHANGMEDIA