Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin (dua dari kanan) ketika meninjau persiapan PPS di Pekan

PENDUDUK DI TEPI SUNGAI PERLU PEKA ARAHAN BERPINDAH

Oleh: Fairus Mohd

PEKAN, 23 DISEMBER 2021 : Paras air Sungai Pahang yang menunjukkan peningkatan berterusan terutamanya di Kuala Chini menuntut perhatian yang lebih dari penduduk di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, penduduk di beberapa buah kampung yang tinggal di kawasan berhampiran sungai telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak kelmarin.

“Semua sedia maklum, daerah Pekan kini menunggu limpahan air dari hulu dan kita menjangkakan peningkatan paras air yang lebih tinggi malam ini.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin (dua dari kanan) ketika meninjau persiapan PPS di Pekan

“Saya ingin menasihatkan sebahagian penduduk yang juga tinggal di kawasan berhampiran sungai agar lebih peka dengan keadaan sekeliling terutamanya perubahan paras air sungai yang boleh berlaku secara mendadak. Patuh pada arahan pihak berkuasa termasuk berkenaan keperluan berpindah ke tempat selamat (pusat pemindahan),” katanya.

Dalam pada itu katanya, seramai 1787 orang mangsa daripada 533 buah keluarga di daerah ini ditempatkan di 21 buah PPS setakat jam 6 petang.

Beliau turut mengingatkan orang ramai terutama ibu bapa agar mengawasi anak masing-masing termasuk tidak bermain di kawasan parit atau longkang bagi mengelakkan berlakunya kejadian tidak diingini.

“Satu kejadian lemas telah berlaku di Felda Chini 2 hari ini melibatkan seorang mangsa lelaki yang menyeberangi jalan yang dinaiki air dengan menaiki motosikal.

“Saya ingin ingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan mengutamakan aspek keselamatan terutamanya pada musim bencana dengan mengikuti segala arahan daripada pihak berkuasa seterusnya mengelak sebarang tragedi,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu selain tugasan memindahkan mangsa di kawasan yang berisiko banjir, rondaan pencegahan jenayah secara berperingkat di kawasan-kawasan yang dilanda banjir akan dilakukan.

“Polis akan melakukan rondaan dan pemantauan secara berkala di kawasan banjir bagi memastikan aspek keselamatan masyarakat termasuk harta benda berada dalam keadaan terkawal.

“Anggota juga akan ditempatkan di setiap pusat pemindahan banjir bagi memantau keselamatan mangsa sekaligus mengelak berlakunya kejadian jenayah. Kita juga berharap agar SOP sentiasa dijaga ketika berada di mana sahaja bagi mengelak sebarang kes penularan COVID-19,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download