Pasukan perubatan membuat pemeriksaan ke atas seorang mangsa banjir.

19,619 MANGSA BANJIR TELAH DISARING OLEH JABATAN KESIHATAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 23 DISEMBER 2021 : Sebanyak 19,619 mangsa banjir yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah disaring oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dalam tempoh seminggu.

Pengarah JKNP, YBhg. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus dalam satu kenyataan media berkata setakat ini tiada sebarang kejadian atau penyakit luar biasa dikesan di PPS di negeri ini.

“JKNP telah menyediakan sebanyak 174 pasukan Perubatan dan 130 pasukan Kesihatan bagi tujuan pemantauan aktiviti perubatan dan kesihatan semasa tempoh banjir ini.

“Dalam tempoh seminggu ini, kita telah berjaya membuat pemeriksaan dan saringan seramai 19,619 orang. Setakat ini tiada kejadian atau penyakit luar biasa dikesan di PPS,” katanya.

Beliau turut meminta mangsa banjir dan orang ramai untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard bagi mencegah penularan COVID-19 dan penyakit lain.

“Nasihat kami kepada mangsa banjir yang berada di PPS supaya terus mematuhi SOP. Kita akui ianya sangat sukar apalagi khemah-khemah yang sangat rapat dan bilangan mangsa yang sangat ramai. Tapi cubalah setakat mana termampu kerana ianya boleh mencegah penularan kluster COVID-19 di PPS sekiranya ada.

“Nasihat kami kepada orang ramai pula supaya sentiasa mendapatkan bekalan air dan makanan dari sumber yang bersih. Air banjir yang kotor dikhuatiri mungkin telah tercemar dan risiko jangkitan penyakit seperti leptospirosis, meliodosis, keracunan makanan, tifoid dan kolera adalah sangat tinggi.

“Amalkan kebersihan tangan dan diri serta cara pembuangan sampah yg betul. Bukan sahaja bagus untuk pencegahan COVID 19 tapi juga untuk mencegah risiko jangkitan penyakit lain seperti demam denggi dan malaria. Kerana selepas surut banjir akan ada kawasan bertakung air dan menjadi tempat pembiakan nyamuk,” katanya.

Beliau berkata suasana PPS yang padat juga amat berisiko kepada untuk penularan jangkitan penyakit sekiranya amalan kebersihan diri tidak diamalkan.

“Selain daripada itu, suasana PPS yang padat amat berisiko kepada jangkitan seperti cacar air (chicken pox), demam campak (measles) dan juga penyakit tangan kaki dan mulut (HFMD).

“Penyakit konjunktivitis mudah merebak melalui perkongsian alatan peribadi seperti tuala, batal serta bergaul dengan individu yang bergejala sakit mata.

Justeru orang ramai hendaklah sentiasa mengamalkan kebersihan diri bagi mengelakkan sebarang jangkitan penyakit. Bencana belum tamat. Kita bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata 1,671 warga Jabatan Kesihatan Negeri Pahang juga turut terjejas dengan musibah banjir ini dimana 552 daripadanya merupakan mangsa banjir.

“Sepertimana fasiliti kerajaan yang lain, beberapa KK (Klinik Kesihatan) dan KD (Klinik Daerah) juga dimasuki air hingga menjejaskan operasi. Sebanyak 41 KD/KK terputus hubungan tapi mereka boleh beroperasi seperti biasa kepada penduduk sekitar yang tidak terjejas.

“Seramai 1,671 warga JKN juga terjejas dengan banjir di mana seramai 552 merupakan mangsa banjir sendiri.

“Walaupun dengan kekangan staf yang ada, tapi mobilisasi dalaman telah dilakukan bagi memastikan perkhidmatan sebahagian besar operasi di Hospital dan Klinik berjalan seperti biasa,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download