Anggota bomba Pekan membantu mangsa banjir

TEKAD LAKSANA TUGAS WALAU TURUT DITIMPA MUSIBAH BANJIR

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 23 DISEMBER 2021 : Rasa tanggungjawab terhadap masyarakat yang menebal di hati menjadikan anggota keselamatan yang turut terlibat dalam bencana banjir terus melaksanakan misi menyelamat mangsa-mangsa lain.

Bagi Pegawai Bomba Kanan II, Encik Hazizi Shahi dari Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, kawasan rumahnya yang terletak di Inderapura, Kuantan turut dinaiki air sehingga paras pinggang.

“Air naik pada awal pagi Ahad (19 November) terlalu pantas, masa tu pukul 4 pagi dan kebetulan saya berada di rumah. Saya kemudian bawa isteri dan anak-anak ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Bunut Rendang.

“Barang di rumah habis musnah termasuk dua buah kereta juga rosak akibat banjir. Keesokan harinya selepas selesai selamatkan keluarga, saya masuk bekerja seperti biasa pada pukul 8 pagi.

“Walaupun rasa risau dengan keadaan di rumah namun saya tawakal dan terus masuk bertugas kerana memikirkan nasib mangsa banjir di Pekan (tempat bertugas) mula bertambah ekoran paras air yang naik cepat,” katanya.

Pegawai Bomba Kanan II, Encik Hazizi Shahi

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Wan Samsul Afendi Wan Mahmud yang ditemui berkata, seramai empat anggota dari balai kelolaannya yang tinggal di Inderapura, Sri Damai dan Bukit Rangin ditimpa musibah banjir.

“Saya mengarahkan anggota-anggota saya ni untuk selamatkan keluarga masing-masing dulu barulah masuk bertugas seperti biasa.

“Inilah semangat yang ditunjukkan mereka walau sebenarnya mereka sendiri ditimpa musibah sama dengan mangsa-mangsa banjir yang mereka usaha selamatkan,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh berkenaan semangat setiap anggota bomba yang bertugas ketika bencana banjir, beliau memuji komitmen yang ditunjukkan setiap pegawai dan anggota.

“Setakat ini alhamdulillah, tahap moral semua anggota berada dalam keadaan baik, mereka melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan berdedikasi.

“Tiada apa-apa perkara yang boleh menjatuhkan atau mengurangkan semangat mereka dalam membantu rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download