Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 22 DISEMBER 2021 : Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri menunjukkan penurunan kepada 38,810 orang setakat 12 tengah hari ini.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, kesemua mereka melibatkan 11,266 keluarga ditempatkan di 285 PPS di sembilan daerah terjejas banjir.
“Di Kuantan, jumlah mangsa terlibat menunjukkan penurunan kepada 16,334 mangsa daripada 4,749 keluarga yang dipindahkan ke 71 PPS, Temerloh sedikit meningkat kepada 10,806 mangsa daripada 3,034 keluarga yang dipindahkan ke 78 PPS, dan Lipis menurun kepada 1,591 mangsa daripada 499 keluarga dipindahkan ke 28 PPS.
“Daerah Jerantut pula menurun kepada 1,823 mangsa daripada 510 keluarga yang dipindahkan ke 28 PPS, Bentong juga menunjukkan peningkatan kepada 3,732 mangsa melibatkan 1,184 keluarga yang ditempatkan di 14 PPS, dan Bera menunjukkan peningkatan jumlah mangsa kepada 1,930 melibatkan 545 keluarga di 18 PPS.
“Raub juga merekodkan penurunan kepada 714 mangsa daripada 203 keluarga yang dipindahkan ke 12 PPS, Pekan meningkat kepada 1,282 mangsa daripada 382 keluarga dipindahkan ke 20 PPS dan Maran juga sedikit meningkat kepada 598 mangsa daripada 160 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS,” katanya.
Beliau berkata, jalan yang ditutup di seluruh negeri ini juga meningkat kepada 40 laluan melibatkan sembilan daerah disebabkan banjir dan tanah runtuh.
“Di Jerantut, jalan yang ditutup adalah Jalan Sungai Retang-Padang Piol, Kuala Lipis-Jerantut, Simpang Batu Embun, Jalan Bukit Genting, Jalan Bukit Puas-Gintong, Jalan Sungai Yap-Pasir Tambang, Jalan Kampung Paya Petai-Sungai Salan, Jalan Paya Rajin, Jalan Pulau Tawar-Durian Hijau, Jalan Bukit Embun-Tebing Tinggi, dan Jalan Ulu Retang-Merting. Di Bera, di Jalan Gemas Temerloh, Jalan Utama Gugusan Bera, dan Jalan Bohor Bahru.
“Raub pula ialah di Jalan Sengkela-Chenua. Di Bentong ialah di Jalan Karak-Simpang Pelangai. Di Pekan di Jalan Mentiga-Terapai. Di Temerloh di Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Jalan Gemas-Temerloh, Jalan Temerloh-Mentakab, dan Loji Air Batu Sawar.
“Di Maran, di Jalan Pekan Sehari-Kampung Awah, Jalan Kampung Wau/Kertau, Jalan Serengkam, Jalan Utama Jengka Utara/Selatan, dan Jalan Kampung Paya Ladang. Di Lipis di Jalan Bukit Kota-Aur Gading, Jalan Kuala Lipis-Jerantut, Jalan Bentong-Gua Musang, Jalan Benta-Jerantut, dan Jalan Kerambit-Limau Purut-Mela.
“Manakala di Kuantan ialah di Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan-Endau, Jalan Air Hitam-Kampung Teluk Mahang, Jalan Panching Utara, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Jalan Pandan Damai 1, Jalan Bukit Rangin Perdana 2, Jalan Bukit Rangin 3, dan Jalan Bukit Rangin Damai,” katanya. -PAHANGMEDIA