Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 21 DISEMBER 2021 : Mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini terus meningkat kepada 41,455 orang melibatkan 11,151 keluarga setakat jam 4 petang.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata ini kesemua mangsa dipindahkan ke 278 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan sembilan daerah.
“Di Kuantan, seramai 21,693 mangsa daripada 5,692 keluarga telah dipindahkan ke 69 PPS, Temerloh 9,543 mangsa daripada 2,641 keluarga dipindahkan ke 72 PPS dan Lipis 2,089 mangsa daripada 641 keluarga dipindahkan ke 35 PPS.
“Raub 1,659 mangsa daripada 440 keluarga dipindahkan ke 24 PPS, Jerantut 1,868 mangsa daripada 515 keluarga dipindahkan ke 31 PPS, dan Pekan 1,034 mangsa daripada 286 keluarga dipindahkan ke 13 PPS.
“Di Bentong 1,767 mangsa daripada 438 keluarga dipindahkan ke tiga PPS, Bera 1,424 mangsa daripada 400 keluarga dipindahkan ke 16 PPS, dan Maran 378 mangsa daripada 98 keluarga dipindahkan ke 15 PPS setakat ini,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 23 jalan di enam daerah ditutup setakat pagi ini disebabkan banjir dan juga tanah runtuh.
“Di Jerantut, jalan yang ditutup adalah Jalan Link Kota Gelanggi, Simpang Batu Embun-Sempadan Kuala Lipis, Simpang Batu Embun, Jalan Bukit Puas-Gintong, Jalan Pulau Tawar-Durian Hijau, Jalan Sungai Lekok-Jerangsong, Jalan Ulu Retang-Merting, dan Jalan Sungai Yap-Pasir Tambang.
“Di Raub pula ialah di Jalan Sengkela-Chenua, Bentong-Gua Musang, dan Jalan Ulu Renggol. Di Bentong ialah di Jalan Karak-Simoang Pelangai, dan Jalan Utama Mempaga.
“Di Maran, di Jalan Serengkam, Jalan Jerantut-Maran, dan Jalan Utama Jengka Utara/Selatan. Di Lipis di Jalan Bukit Kota-Aur Gading, dan Jalan Kuala Lipis-Jerantut. Manakala di Kuantan ialah di Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan-Endau, Jalan Air Hitam-Kampung Teluk Mahang, Jalan Panching Utara, dan Jalan Kuala Lumpur-Kuantan,” katanya. – PAHANGMEDIA