Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 18 DISEMBER 2021 : YAB Menteri Besar Pahang menasihatkan orang ramai supaya menangguhkan sementara perjalanan ke Cameron Highlands buat masa ini.
Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu hantaran di laman sosial beliau berkata ini kerana keadaan cuaca yang tidak begitu elok kebelakangan ini.
“Nak datang ke Cameron Highlands, elok tangguh dulu sehari dua ini sebab hujan lebat. Bimbang juga ya.
“Cuaca juga nampak tidak begitu elok dengan hujan sepanjang jalan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menjaga diri masing-masing ketika musim tengkujuh ini.
Sebanyak 996 mangsa banjir daripada 251 keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini setakat 1 petang hari ini. -PAHANGMEDIA