Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 18 DISEMBER 2021 : Sebanyak 996 mangsa banjir daripada 251 keluarga telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri ini setakat 1 petang hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, Mejar (PA) Mohd Zairosnizam Mohd Tarmizi berkata kesemua mangsa yang dipindahkan melibatkan empat daerah.
“Di Raub, sebanyak 516 mangsa daripada 140 keluarga telah dipindahkan ke 18 PPS yang ada, di Maran sebanyak 225 mangsa daripada 52 keluarga dipindahkan ke sembilan PPS.
“Di Lipis, sebanyak 124 mangsa daripada 36 keluarga dipindahkan ke lima PPS, dan di Jerantut sebanyak 131 mangsa daripada 23 keluarga dipindahkan ke empat PPS setakat ini,” katanya.
Beliau berkata setakat ini keadaan banjir di negeri ini menunjukkan berlakunya tren peningkatan yang ketara.
Tambah beliau lagi, kesemua sungai juga menunjukkan tren meningkat berbanding sebelum ini.
“Bagi daerah Lipis, Sungai Pahang di Sungai Jelai, Jeti Lipis berada pada paras berbahaya manakala empat lagi sungai iaitu Sungai Jelai, Sungai Jelai di Bukit Bentong, Sungai Jelai di Jeram Bungor, dan Sungai Kechau berada pasa paras amaran.
“Di Jerantut pula, Sungai Tembeling di Kampung Merting, dan Sungai Pahang di Paya Gintong berada di paras berbahaya. Di Raub, Sungai Lipis di Batu Malim menunjukkan paras berbahaya,” katanya. -PAHANGMEDIA