Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 16 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang telah mengarahkan siasatan terperinci dilakukan terhadap kejadian buli yang dilaporkan berlaku di negeri ini baru-baru ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya juga sedang menunggu laporan siasatan kes berkenaan.
“Saya telah meminta satu siasatan dijalankan dan sedang menunggu laporannya, saya masih belum menerima laporannya dan tindakan sewajarnya akan diambil.
“Siasatan telah dijalankan secara menyeluruh melibatkan pelbagai pihak termasuklah pembuli, mangsa buli, warden, cikgu dan semua pihak untuk mendapatkan maklumat yang betul.

“Kita mesti tahu punca dan sebab berlakunya kes buli ini sebelum membuat keputusan sebarang tindakan terhadap pihak yang bersalah,” katanya selepas merasmikan Program Bicara Psikologi: Melestarikan Kesejahteraan Minda Penjawat Awam Negeri Pahang Tahun 2021 di Swiss-Belhotel, Kuantan, hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin, YAA Ketua Hakim Syarie Pahang, YH. Dato’ Sri Haji Rahman Md Yunos, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang, YH Dato’ Zakarian Ibrahim dan Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia Antarabangsa (PERKAMA International), YH Dato’ Dr. Abd Halim Mohd Hussin.
Sebelum ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kesal dan dukacita dengan kejadian buli berkenaan dan kejadian seumpama ini tidak seharusnya berlaku sama sekali.
Sementara itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, penjawat awam di Pahang diingatkan supaya tidak terjerat dengan kesibukan kerja dan bijak mengurus pekerjaan sebaiknya bagi menijamin kesihatan minda serta fizikal.
“Kerjaya penting tetapi jangan ‘over do’ atau terjerat hingga tiada masa untuk menjaga kesihatan tubuh dan minda, tidak dapat meluangkan masa bersama keluarga, jadi untuk mengelak tekanan maka carilah waktu untuk berehat secukupnya,” katanya. – PAHANGMEDIA