Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB. Dato’ Haji Md. Sohaimi Haji Mohamed Shah berkenaan rumah Generasi kedua Felda pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI: RUMAH GENERASI KEDUA FELDA MASIH DIBERI PERHATIAN

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 10 DISEMBER 2021 : Felda dan Kerajaan Negeri memandang serius dalam menangani isu berkenaan peluang dan ruang kepada anak muda generasi muda membina rumah kediaman di tanah kosong dalam felda.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, terdapat cabaran untuk memenuhi lot-lot kosong yang ada.

“Lot-lot tanah kosong ada tiga iaitu tapak peneroka yang disingkir atau lari dari penempatan, kawasan kampung yang dirizabkan dan lot paya atau kawasan tidak ekonomik.

“Bagi tapak peneroka yang disingkir atau lari, ia tidak boleh diisi kecuali ada pembukaan pengambilan peneroka baru atau persetujuan bersama Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Pembangunan (FELDA) mengikut perjanjian yang ditandatangani antara PBN dan PBP (FELDA) ketika sesuatu kawasan ini di bangunan bagi mengisi lot-lot kosong yang ada di negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Lembing, YB. Dato’ Haji Md. Sohaimi Haji Mohamed Shah berkenaan rumah Generasi kedua Felda pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu beliau menambah, bagi mendirikan kediaman generasi kedua pula tidak dinyatakan di dalam Akta Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 (Akta GSA).

Sementara itu, menjawab berkenaan rumah generasi kedua Felda Sagu 2 yang terbengkalai, beliau berkata sebanyak 300 unit Perumahan Generasi Kedua (PGBF) di kawasan berkenaan terbengkalai sejak 2016 kerana kontraktor ketika itu ditamatkan selepas hanya 22 peratus sahaja kerja yang siap.

“Bagaimanapun pelaksanaan projek berkenaan tidak dapat diteruskan kerana FELDA tidak mempunyai dana peruntukan.

“Peruntukan FELDA yang ada pada masa sekarang hanya tertumpu bagi menyiapkan tapak-tapak yang kemajuan kerjanya 70 peratus ke atas,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download