YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long berkenaan jumlah pelaburan asing yang dibawa masuk ke negeri ini pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

SIDANG DEWAN NEGERI: TERAS JADI PLATFORM SGLC DEKATI MASYARAKAT

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 10 DISEMBER 2021 : Bermula tahun hadapan, kerajaan negeri memperkenalkan Program Transformasi Desa Pahang (TERAS) melibatkan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (SGLC) dalam mendekati masyarakat dan berkongsi manfaat pendapatan yang diperoleh dari perniagaan yang diusahakan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program berasaskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini akan disertai 29 buah syarikat dan 39 buah kampung di setiap daerah termasuk kampung Orang Asli yang telah dipilih mengikut kriteria ditetapkan.

“Peruntukan bagi program ini ditanggung sepenuhnya oleh SGLC terlibat dengan kadar peruntukan di antara RM30,000 ke RM50,000 setahun bagi setiap kampung mengikut kemampuan SGLC terlibat.

“TERAS akan memberi fokus kepada program-program melibatkan Pendidikan (tuisyen), sosial ekonomi seperti program keusahawanan dan program pertanian, program sosial seperti gotong-royong, sukan, seni, budaya dan kebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long berkenaan jumlah pelaburan asing yang dibawa masuk ke negeri ini pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Yang Ke-14 Sidang Dewan Negeri (DN) Pahang di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Dalam pada itu Dato’ Sri Wan Rosdy turut menegaskan bahawa terlalu awal untuk menilai program ini namun ia adalah usaha yang amat baik walaupun dilakukan secara sederhana.

Menjawab soalan tambahandaripada ADN Padang tengku, beliau berkata sudah pasti ada kolaborasi antara SGLC yang terlibat agar tidak berlakunya pertindihan fungsi antara mereka.

“Program ini tidak menjalankan pembangunan fizikal tetapi lebih menjurus kepada program-program jangka pendek yang memberi manfaat kepada penduduk setempat.

“Kita juga akan membawa satu modal insan untuk dilaksanakan pada program berkenaan di kampung-kampung yang terlibat dengan program ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download