Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 09 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang bersetuju mengadakan Skim Tanah Rakyat (STR) bagi generasi baharu FELDA bagi membolehkan mereka mendirikan rumah sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata melalui skim ini, ianya mengikut reka bentuk yang standard oleh Kerajaan seperti mana perbentangan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) oleh YAB Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Tahan, YB. Encik Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin semasa Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.
YB. ADN Tahan sebelum ini bertanyakan mengenai perancangan Kerajaan bagi memastikan setiap anak peneroka yang tinggal di Felda untuk dapat memiliki rumah sendiri.
Menjawab soalan tambahan oleh YB. Encik Mohd Zakhwan mengenai ketahanan struktur rumah yang terbengkalai, beliau berkata struktur yang dibina adalah kukuh.
“Mengikut jawapan kejuruteraan Felda, struktur yang ada, yang terbengkalai, yang dibina selama ini, tetapi tak siap masih boleh digunakan.
“Kerana mereka menggunakan spesifikasi JKR (Jabatan Kerja Raya) walaupun tidak ada kebenaran merancang tapi spesifikasi bancuhan simen, adunan besi, cukup untuk menampung apa yang dirancang oleh pihak konsultan yang dilantik oleh FELDA ketika itu,” katanya. – PAHANGMEDIA