Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin

SIDANG DEWAN NEGERI : KAWASAN RIZAB BIOSFERA TASIK CHINI DILUASKAN KEPADA 9,147 HEKTAR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 09 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang bersetuju meluaskan kawasan Rizab Biosfera Tasik Chini (TCRB) kepada 9,147.18 hektar bagi proses pemulihan kawasan berkenaan berbanding seluas 6,922.96 hektar sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, Kerajaan Negeri juga telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Tindakan Pemulihan Tasik Chini bagi menyelaras semua tindakan pemulihan di kawasan TCRB.

“Di samping itu, sebahagian besar dari kawasan baharu TCRB akan diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal (HSK) Chini bagi memastikan kawasan tersebut tidak lagi diteroka pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Chini, YB. Encik Mohd Sharim Md Zain semasa Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.

YB ADN Chini sebelum itu bertanyakan mengenai usaha Kerajaan Pahang dalam pemuliharaan semula kawasan Resort Tasik Chini sebagai kawasan pelancongan.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Pahang juga sedang dalam usaha memulihkan kawasan TCRB dengan tanaman tutup bumi dan penanaman pokok di kawasan berhampiran kawasan tasik.

“Kerja-kerja pemulihan tanah juga dijalankan bagi mengelakkan sebarang ‘effluent’ dapat masuk ke dalam tasik,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Pahang juga telah bersetuju untuk tidak membenarkan sebarang bentuk pembangunan selain penyelidikan dijalankan di Tasik Chini.

“Ini bagi mengekalkan kawasan tersebut sebagai Taman Hutan Negeri yang juga dikenali sebagai tapak Rizab Biosfera pertama Malaysia di bawah Program Man and Biosphere (MAB), United Nations for Educational, Scientific and Cultural Organisation (UNESCO),” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download