Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 09 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang telah mengutip ganti rugi sebanyak RM1,715,630.43 bagi kes kesalahan hutan di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah tersebut kompaun sebanyak RM753,500 turut dikenakan.
“Sehingga 15 November, sebanyak 68 kes kesalahan hutan telah direkodkan bagi tahun ini, manakala jumlah kompaun yang telah dikenakan ialah RM753,500 dan ganti rugi yang dikenakan ialah RM1,715,630.43,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Ibam, Datin Samsiah Arshad semasa Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.
ADN Bukit Ibam sebelum itu bertanyakan mengenai tindakan yang telah diambil serta nilai denda yang dikenakan terhadap penceroboh hutan di negeri ini
Menjawab mengenai soalan tambahan YB ADN Bukit Ibam mengenai sumbangan syarikat konsesi balak dalam kelestarian hutan, beliau berkata Kerajaan Pahang telah meningkatkan kadar caj bagi Kumpulan Wang Pembangunan Hutan (Cess).
“Kerajaan Negeri telah pun menaikan kalau dulunya RM11 per meter padu, sekarang RM20 per meter padu untuk dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Pembangunan Hutan.
“Jadi daripada duit inilah, Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perhutanan akan gunakan untuk pembangunan hutan seperti mana tanam pokok, dan pemuliharaan hutan dan juga aktiviti-aktiviti lain seperti kempen dan sebagainya,” katanya. -PAHANGMEDIA