YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB. Andansura Rabu semasa Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini

SIDANG DEWAN NEGERI: KERAJAAN PAHANG SASAR 60 PERATUS KAWASAN DIJADIKAN HUTAN SIMPAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 09 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang menyasarkan sebanyak 60 peratus kawasan di negeri ini dijadikan sebagai kawasan hutan simpan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini merupakan peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding jumlah hutan simpan sedia ada.

“Setiap negeri, yang telah diputuskan di dalam Mesyuarat Tanah Negara, mestilah sekurang-kurangnya 50 peratus hutan simpan, tetapi kita di Negeri Pahang, sudah lebih 7 peratus.

“Walaupun kita dah lebih 7 peratus (kawasan hutan simpan yang ditetapkan) tetapi kerana ini sesuatu yang baik untuk generasi yang akan datang, kita telah mensasarkan supaya mencapai 60 peratus. Makna kita ada peningkatan 3 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, YB. Encik Andansura Rabu semasa Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.

YB. ADN Beserah sebelum itu bertanyakan mengenai jumlah sasaran Kerajaan Pahang untuk mengekalkan kawasan hutan simpan di negeri ini.

Beliau berkata, penambahan ini merupakan satu usaha daripada Kerajaan Pahang demi kelestarian negeri ini.

“Saya percaya hasil daripada perbincangan saya dengan Jabatan Perhutanan ianya akan dapat dicapai dan kalau YB Adun Beserah melihat daripada setahun ke setahun bermula 2018 peningkatan reserve hutan yang telah kita wartakan sentiasa meningkat.

“Pada 2019, ada 6,000 hektar lebih. Pada 2020 dan 2021 pun sentiasa ada. Jadi ini adalah satu usaha kita bersama, usaha keluarga Pahang supaya generasi akan datang dapat menikmati kelestarian hutan di Negeri Pahang,” katanya.

Menjawab soalan tambahan YB ADN Beserah mengenai pampasan yang diberikan Kerajaan Persekutuan daripada peratusan hutan simpan, beliau berkata Kerajaan Pahang hanya menerima sekali sahaja setakat ini.

“Oleh sebab kita di Semenanjung, di Negeri Pahang adalah yang paling tinggi sekali mereservekan hutan simpan berbanding dengan negeri-negeri lain.

“Saya masih ingat pada pemerintahan 22 bulan, kita mendapat pampasan yang tidak sewajarnya iaitu kita mendapat rendah. Kalau ikut logik 50 peratus lebih, yang tertinggi, kita mendapat nombor satu. Kita mendapat lebih kurang RM7 juta ke RM8 juta macam tu sahaja. Tapi pokoknya ada negeri lain yang lebih rendah daripada kita tapi dapat lebih daripada kita.

“Jadi dalam mesyuarat tersebut saya telah bangkitkan, saya harap pengiraan untuk agihan pampasan hendaklah dibuat secara telus kerana melihat apa yang Kerajaan Pahang dapat, tidak sewajarnya.

“Itu kita dapat sekali, selepas itu tak dapat dah. Baru-baru ini dalam Mesyuarat Tanah Negara, saya ada meminta tapi setakat ini belum dapat lagi. Mungkin tahun hadapan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download