YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika sesi perbahasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini

SIDANG DEWAN NEGERI : PEMILIK TANAH STW DIKENAKAN MORATORIUM 10 TAHUN BAGI JAMIN HAK PEMILIKAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 08 DISEMBER 2021 : Pemilik tanah Skim Tanah Warisan (STW) akan dikenakan moratorium selama 10 tahun oleh Kerajaan Negeri bagi menjamin hak pemilikan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu telah dinyatakan ketika pembentangan Belanjawan 2022 pada Isnin lalu di mana pemilik STW tidak boleh menjual tanah mereka.

“Saya ingat tak timbul isu (penjualan tanah) dah sebab masa kita bentangkan belanjawan, kita kenakan moratorium 10 tahun. Sesiapa yang dapat tanah STW akan dikenakan moratorium, maknanya dia tak boleh jual dalam tempoh 10 tahun.

“Itu pun ada rakan-rakan exco mencadangkan 15 tahun, 20 tahun, tapi saya merasakan 10 tahun itu sudah memadai. Jadi syaratnya telah ada, jadi tak timbul isu lagi dah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab isu berkenaan cadangan Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapa Haji Long untuk menyenarai hitam penjual dan pembeli tanah STW ini ketika sesi perbahasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.

Sementara itu, YB. Dato’ Mustapa berkata, pihaknya berharap perkara ini dapat dilaksanakan dalam kadar segera.

“Saya harap perkara ini (moratorium kepada pemilik tanah) akan dilaksanakan secepatnya sebab perkara ini sedang berlaku. Kita juga cadangkan untuk Kerajaan Negeri panjangkan kadar hak milik tanah ini daripada lima kepada 10 tahun,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download