Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Mahmud pada sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini

SIDANG DEWAN NEGERI: KERAJAAN PAHANG BERSEDIA MENGKAJI TAPAK BAHARU TKPM

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
 
KUANTAN, 8 DISEMBER 2021 : Kerajaan Pahang mengalu-alukan cadangan untuk mewujudkan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) baharu di negeri ini dan bersedia untuk mengkaji ketersediaan tapak sekiranya bersesuaian untuk dibangunkan sebagai TKPM.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak berkata, TKPM boleh menjadi medium untuk merancakkan ekonomi di kalangan rakyat di negeri ini khususnya kepada golongan muda bagi mengatasi pengangguran.
 
“Pihak kerajaan telah memutuskan keutamaan peserta yang akan dipilih adalah di kalangan belia berumur antara 18 hingga 40 tahun lepasan sijil, diploma atau ijazah dalam bidang pertanian serta bersesuaian.

“Golongan belia atau anak muda ini amat bersesuaian dengan teknologi moden dan pertanian pintar yang akan digunapakai dalam pengeluaran hasil dan pendekatan ini akan diteruskan sepanjang tempoh RMK-12 selaras dengan perancangan strategik kerajaan ke arah evolusi IR4.0,” katanya.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Manis, YB. Dato’ Khairuddin Mahmud pada sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
 
Sehingga Oktober 2021, terdapat 19 tapak TKPM di seluruh Pahang dengan daerah Kuantan terdapat empat tapak TKPM, Rompin tiga tapak, Pekan, Maran, Bera dan Lipis masing-masing dua tapak serta Bentong, Raub, Temerloh dan Jerantut masing-masing satu tapak.
 
Sehingga Jun 2021, Jabatan Pertanian telah membangunkan 18 tapak TKPM berkeluasan 5,094 hektar dengan hasil pengeluaran sebanyak 5,240 tan metrik bernilai RM10.838 juta. – PAHANGMEDIA

 

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download