Oleh: Fairus Mohd
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 7 DISEMBER 2021 : Pahang menjangkakan perolehan jumlah pelaburan tempatan dan asing sebanyak RM12 bilion menjelang penghujung tahun ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, angka tidak rasmi itu diterima daripada Unit Antarabangsa Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang di mana jumlah pelaburan berkenaan mampu dicapai dengan prestasi cemerlang dipamerkan negeri ini.
“Berdasarkan laporan terkini jumlah pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pahang menerima sejumlah RM6.751 bilion daripada pelaburan tempatan dan asing pada tahun 2020 dan RM0.94 bilion sehingga Jun tahun ini.
“Manakala untuk tahun hadapan sukacita saya maklumkan pada tahun 2022 kita sasarkan perolehan RM18 bilion jumlah pelaburan tempatan dan asing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Ahli Dewan Negeri (ADN) Muadzam Shah, YB. Tuan Ir. Razali Kassim berkenaan jumlah pelaburan asing yang dibawa masuk ke negeri ini pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Menjawab soalan tambahan daripada ADN Muadzam Shah itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaburan yang dibawa masuk ke negeri ini pasti akan membawa ruang dan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.
“Sudah tentu apabila ada pelaburan asing akan mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, mengikut rekod yang saya peroleh sekiranya benar-benar sasaran RM12 bilion pelaburan dicapai pada tahun ini, lebih kurang 10,000 peluang pekerjaan pelbagai kategori dan kemahiran bakal tersedia,” katanya. –PAHANGMEDIA