Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 06 DISEMBER 2021 : Kerajaan Negeri memperuntukan RM2.7 juta bagi pembangunan teknologi maklumat kepada jabatan dan agensi Kerajaan Negeri Pahang.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini bagi memastikan kelancaran sistem penyampaian perkhidmatan awam secara berterusan dalam norma baharu.
“Bagi memudahkan capaian data berkaitan bantuan untuk rakyat diperolehi dengan cepat dan pantas, Kerajaan Negeri membangunkan sistem data berpusat @ E-Rakyat Pahang dengan melibatkan peruntukan sebanyak RM283,000.
“Bagi menyokong penyampaian perkhidmatan pula, sebanyak RM400,000 telah diperuntukkan bagi penggantian infrastruktur Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di jabatan-jabatan kerajaan meliputi komputer dan juga pencetak yang digunakan bagi pengoperasian sistem-sistem online di kaunter,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan Belanjawan Tahun 2022 Kerajaan Negeri Pahang bertemakan Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama, Rakyat Sejahtera pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.
Beliau berkata sebanyak RM400,000 pula diagihkan bagi Program Pembangunan dan Pemantapan Proses Literasi ICT Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) yang mana ianya memfokuskan kepada penyediaan makmal komputer di 18 buah SMAN.
“Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM400,000 pula bagi menaiktaraf infrastruktur rangkaian 1PahangNet di seluruh Negeri Pahang.
“Selain daripada itu, perancangan juga telah dibuat bagi membangunkan satu pelan perkongsian data terbuka dan pemanfaatan analitik data raya negeri. Melalui program ini diharapkan pentadbiran Kerajaan Negeri dapat menggunakan data-data untuk dianalisa bagi membuat keputusan yang tepat dan relevan untuk pembangunan dan kesejahteraan negeri dan rakyat khususnya,” katanya.
Menurut beliau, penaiktarafan kabel-kabel rangkaian kepada model yang terkini akan dilaksanakan secara berperingkat pada tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM2.7 juta.
“Bagi tahun 2022, penaiktarafan kabel-kabel rangkaian kepada model yang terkini iaitu CAT6 di semua agensi Kerajaan Negeri akan dilaksanakan secara berperingkat.
“Lesen-lesen peralatan rangkaian sedia ada akan diperbaharui untuk memastikan perkhidmatan yang disediakan adalah sentiasa terkini, selamat dan terjamin.
“Selain itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM60,000 setahun, bagi langganan Perkhidmatan Jalur Lebar Satelit (VSAT) kepada 50 kawasan yang mempunyai masalah capaian. Jumlah keseluruhan peruntukan ini adalah sebanyak RM3 juta setahun,” katanya. -PAHANGMEDIA