Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 6 DISEMBER 2021: Kerajaan Pahang sedar akan keperluan tanah bagi generasi anak-anak FELDA melalui keputusan membatalkan kawasan ‘pocket land’ yang sebelum ini tidak dibenarkan untuk pembangunan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembatalan tersebut telah membolehkan kawasan-kawasan ‘pocket land’ tersebut dijadikan rancangan tanah kelompok bagi tujuan kediaman dan tapak rumah bagi generasi anak-anak FELDA.
“Langkah ini dapat memastikan tiada anak-anak generasi FELDA yang menumpang di rumah ibu dan bapa dengan memberi peluang kepada mereka bagi pemilikan tanah dan rumah untuk generasi anak muda FELDA.
“Kerajaan Negeri juga ingin memaklumkan bahawa sebanyak RM1 bilion telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat bagi keseluruhan Projek Perumahan FELDA, termasuklah projek Perumahan Belia FELDA dan Projek Perumahan Generasi Baru FELDA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi ucapan Belanjawan Tahun 2022 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Beliau berkata, peruntukan RM1 bilion itu juga melibatkan projek bagi menyiapkan Perumahan Baharu FELDA yang terbengkalai, bernilai RM200 juta yang melibatkan sepuluh buah kawasan iaitu Keratong, Jengka 1, Jengka 6, Jengka 11, Jengka 12, Kg. Awah, Bukit Sagu, Sungai Retang, Kota Gelanggi 2, Bukit Tajau, Chini 3, Sungai Tekam dan Sungai Koyan A dan 2B. -PAHANGMEDIA