YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

BELANJAWAN PAHANG : KERAJAAN PAHANG PERUNTUK RM5,000 KEPADA TASKA EMPAT BINTANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 6 DISEMBER 2021 : Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang memperuntukkan sebanyak RM5,000 kepada TASKA bertaraf empat bintang yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Kerajaan Pahang menganggarkan sebanyak RM350,000 akan diperuntukkan.

“TASKA yang berdaftar dengan JKM, yang mencapai penarafan standard 4 bintang ke atas, dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM350,000 dengan anggaran 70 TASKA mendapat penarafan 4 bintang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan Belanjawan Tahun 2022 Kerajaan Negeri Pahang bertemakan Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama, Rakyat Sejahtera pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri juga akan meneruskan pemberian bantuan peranti digital dan pencetak kepada kanak-kanak dari kumpulan B40.

“Seterusnya Kerajaan Negeri juga meneruskan bantuan peranti digital dan pencetak kepada kanak-kanak kumpulan B40 yang akan mengambil peperiksaan SPM dengan memperuntukkan sebanyak 1,500 buah peranti digital kepada anak penerima bantuan JKM serta penghuni empat institusi kanak-kanak JKM dengan peruntukan sebanyak RM2.2 juta.

“Pengasahan bakat kanak-kanak cemerlang terus dipertingkatkan ke aras yang lebih cemerlang di samping menjadi role-model kepada kanak-kanak lain, mengenal pasti masalah keciciran pelajar yang tidak mampu membaca bagi pelajar darjah 1 dan tidak mampu membaca Al Quran melalui program Pembangunan Modal Insan, pembukaan cawangan tadika tahfiz di empat daerah dengan sasaran khatam juzuk apabila tamat tadika.

“Sekolah rendah tahfiz di Negeri Pahang akan dibuka dengan menggabungkan modul Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan modul hafazan, mengekalkan ranking pertama Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Maahad Tahfiz di Pahang selama 8 tahun secara berturut- turut.

“Kerajaan Negeri melalui Yayasan Pahang memberikan biasiswa sekolah rendah dan menengah bagi murid dari keluarga yang berpendapatan bawah RM2,500, di mana 9 daripada 10 pelajar di sekolah rendah, dan 6 daripada 10 pelajar di sekolah menengah telah menerima biasiswa ini,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download