Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi dan Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 06 DISEMBER 2021 : Kerajaan Negeri Pahang akan menambah enam buah rumah di setiap kawasan Dewan Negeri (DN) dengan peruntukan berjumlah RM19.95 juta bagi Projek Rumah Rakyat Pahang (RRP).
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, penambahan berbanding empat buah pada tahun ini akan menjadikan sebanyak 266 buah rumah akan dibina pada tahun hadapan.
“Bagi tahun 2022, Kerajaan Negeri terus komited untuk memperkasakan usaha ini. Memandangkan kos pembinaan meningkat akibat pandemik COVID-19, Kerajaan Negeri Pahang telah bersetuju untuk menaikkan peruntukan pembinaan rumah daripada RM65,000 sebelum ini kepada RM75,000.
“Pada tahun 2021, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan bagi pembinaan 102 unit RRP bagi Fasa 1 dan 104 unit bagi Fasa 2. Jumlah keseluruhan peruntukan yang telah diluluskan bagi RRP tahun 2021 adalah sebanyak RM13.47 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan Belanjawan Tahun 2022 Kerajaan Negeri Pahang bertemakan Kemakmuran Negeri, Manfaat Bersama, Rakyat Sejahtera pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri (DN) Pahang Ke-14 di Dewan Negeri Pahang Darul Makmur, hari ini.
Menurut beliau, bagi tahun ini, sebanyak tiga projek melibatkan 722 unit rumah telah memulakan kerja di tapak iaitu di Kuantan, Maran dan Lipis.
“Sehingga tahun 2021, sebanyak 124 projek PR1MA Pahang dengan bilangan unit sebanyak 39,679 unit telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri kepada pemaju swasta di seluruh Negeri Pahang dan diteruskan pelaksanaan pembinaan pada tahun 2022.
“Sebagai penambahbaikan kepada projek PR1MA Pahang sedia ada, Kerajaan Negeri telah melaksanakan projek Rumah MAKMUR bagi memenuhi keperluan golongan sasaran yang berpendapatan sederhana rendah. Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah meluluskan 22 projek dengan jumlah rumah yang bakal dibina sebanyak 6,165 unit rumah.
Beliau berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM15 juta bagi fasa pertama projek yang akan bermula di Kuala Medang, Lipis bagi Skim Tanah Warisan (STW) yang mensasarkan 250 penerima.
“Bagi projek ini, Kerajaan Negeri akan memberikan hakmilik tanah berkeluasan antara 8,000 sehingga 10,000 kaki persegi bagi tujuan pembinaan rumah oleh peserta yang terpilih dengan dikenakan bayaran premium berjumlah RM10,000 sahaja.
“Pembinaan infrastruktur pula akan dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik dengan kos pembangunan dibiayai oleh Kerajaan Negeri. Bagi maksud pembiayaan untuk membina rumah kediaman, peserta dibenarkan untuk mencagarkan tanah yang diberimilik oleh Kerajaan Negeri bagi tujuan mendapatkan pinjaman bank. Peserta juga dikenakan moratorium sekatan pindahmilik tanah selama 10 tahun.
“STW ini akan diperluaskan ke seluruh Negeri Pahang dengan pelaksanaan sekurang-kurangnya satu projek di setiap daerah. Perancangan bagi tahun 2022 adalah di enam daerah iaitu Raub, Temerloh, Rompin, Jerantut, Bera dan Maran dan seterusnya akan dikembangkan lagi ke daerah lain di Negeri Pahang,” katanya. – PAHANGMEDIA